sekadar sebuah catatan

Minda Nik Aziz

leave a comment »

Tunjuk perasaan adalah satu tajuk yang sangat berkaitan dengan fitrah manusia. Kanak-kanak boleh merajuk. Isteri kadang-kadang boleh menangis. Anak lelaki atau perempuan kita juga biasa menunjukkan pernyataan sikap mereka sama ada suka atau duka melalui perlakuan dan tutur kata.

Semua ini adalah manifestasi perasaan. Apa yang ditunjukkan dinamakan tunjuk perasaan.

Di dalam Islam, kita menunjukkan perasaan kecintaan dan ketundukan kita terhadap Allah S.W.T. melalui sembahyang lima waktu beramai-ramai (berjemaah) yang lengkap dengan aksi duduk, sujud dan tunduk bangunnya.

Kita juga ada solat Jumaat sekali seminggu dan solat sunat dua Hari Raya untuk tiap-tiap tahun.

Kemuncak demonstrasi dapat kita saksikan melalui pertemuan sekali seumur hidup (sekurang-kurangnya) untuk berhimpun di Padang Arafah, melontar iblis di ketiga-tiga Jamrah, Saei di antara Safar dan Marwah dan Tawaf untuk mengEsakan Allah S.W.T. di Kaabah, satu-satunya Kiblat seluruh umat Islam.

Ini semua adalah manifestasi demonstrasi sebenar yang telah dituntut oleh Allah S.W.T. seawal-awal wujudnya Adam Alaihissalam lagi.

Sebagaimana kita dibolehkan berdemontrasi untuk perkara-perkara maaruf, begitulah juga kita dituntut untuk menunjukkan perasaan protes dan penentangan kita terhadap apa juga kezaliman, jika berlaku kezaliman.(Amar maaruf nahi mungkar).

Boleh berdemonstrasi kerana Malaysia negara demokrasi

Dalam konteks demontrasi di Malaysia, bagi yang sudah-sudah atau yang akan diatur, saya melihat ianya tidak bercanggah dengan perintah kebebasan bersuara dalam Islam.

Perhimpunan aman sekadar menyatakan sikap melalui corong-corong pembesar suara semata-mata untuk menjelaskan asas dan hujah adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan apa jua acuan demokrasi atau Islam.

Kita bukan kerajaan junta. Myanmar dilanda perarakan aman sami-sami Buddha lebih 100,000 orang di Dataran Yangon dua minggu yang lalu adalah manifestasi perasaan rakyat yang telah lama terpendam.

Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti.

Bagi saya, saya tetap merestui sebarang perhimpunan aman untuk sekadar menyatakan sikap dan membangkitkan semangat kesedaran untuk menolak kezaliman.

Jika saya tiada masalah kesihatan, saya akan turut bersama dalam mana-mana kesempatan untuk menyatakan protes terhadap apa yang tidak betul dengan syariat Allah S.W.T.

Sungguhpun pihak berkuasa ada mempunyai hak untuk menghalang dengan tidak mengeluarkan permit tetapi biarlah seboleh-bolehnya semua pihak mendahului kaedah perundingan.

Cubalah mencari formula yang boleh memuaskan hati kedua-dua pihak.

Suasana “win-win” ini perlu ada dalam segenap ketika.

Inilah juga apa yang selalu disebut-sebut sebagai semangat permuafakatan.

Jika tak boleh demonstrasi secara berdiri, maka duduklah.

Jika tak boleh berhimpun di Masjid Jamek, maka tak bolehkah bersolat hajat di Masjid India atau berpidato secara tenang di Dataran Merdeka? Jangan sampai tak boleh langsung.

Di Kelantan, suasana di sini sangat tenang. Alhamdulillah. Pihak polis di sini cukup pandai menyesuaikan diri antara undang-undang dan peraturan dan kehendak agama yang turut difahami oleh rakyat.

Setiap ceramah dan perhimpunan awam di sini tidak diganggu kerana masing-masing pihak tahu sempadan dan hak masing-masing.

Kelemahan kerajaan punca protes rakyat

Kadang-kadang isu harga barang yang tidak terkawal, harga minyak yang diuar-uarkan akan naik, tuduhan skandal dalam kes pita rakaman video V.K. Lingam, teguran KDYMM Sultan Perak ke atas sistem kehakiman yang bercelaru, tuduhan rasuah yang melibatkan RM puluhan juta wang rakyat.

Juga pendedahan Ketua Audit Negara mengenai pelbagai salah laku dan pengkhianatan terhadap wang pembayar cukai dan kekhuatiran rakyat yang menyeluruh terhadap SPR dalam Pilihan Raya Umum Kali Ke 12 yang akan datang – ini semua adalah haba.

Ia adalah sesuatu yang hangat. Larva dan magma daripada sebarang gunung berapi boleh meletus jika ditutup mulutnya dengan tudung periuk dan gunung berapi boleh diam buat sementara, tetapi dia akan meletus juga satu hari nanti.

Oleh kerana rakyat merasakan mereka mempunyai fakta dan fakta ini pula tidak dilayan walaupun telah disampaikan melalui saluran demokrasi, maka mereka wajar diberikan laluan untuk berhimpun secara aman.

Selagi mereka memohon dan berjaya untuk menyampaikan protes dengan hujah secara tertib secara aman dengan premis dan masa yang telah diberikan, maka tugas pihak berkuasa ialah untuk memantau.

Bukankah akrabnya kesetiakawan polis dan rakyat itu ada terlambang dalam lencana polis yang berjabat tangan? Dan, hak-hak ini turut diakui oleh pihak SUHAKAM.

Ia adalah hak yang tersedia di dalam Perlembagaan dan boleh dinikmati oleh setiap warganegara seperti yang disebut di dalam Perkara 10 Ceraian 1 A & B iaitu (Every citizen has the right to freedom off speech and expression. All citizens has the right to assemble peaceably and without arms).

Demonstrasi sebenarnya sama juga dengan pernyataan perasaan.

Dalam prinsip dakwah, kita ada 3 saluran iaitu Bilhikmah yakni segala hikmah, nasihat dan tegur menegur atau membangkang secara beradab dan ketiganya bermujadalah yakni bersemuka untuk menyatakan pandangan.

Ketiga-tiga saluran ini dibenarkan oleh Islam. Kenapa pula tiba-tiba dengar khabar, ia akan ditutup semuanya?

Polis patut ikut kata PM, lupakan perkara lama

Dalam pelancaran ECER pada 29 Oktober lalu, kita telah mendengar seruan Perdana Menteri supaya lupakan perkara-perkara yang telah lama.

Beliau mengajak kita untuk memandang ke hadapan dan lupakan perkara-perkara yang lepas.

Cerita tidak memberikan permit ini adalah cerita lama. Oleh itu, kita hendaklah meninggalkannya.

Kita mulakan mulai sekarang, kita perlu membuka agenda baru dengan memulihkan demokrasi dan kembalikan hak rakyat seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10 dalam Perlembagaan yang saya sebutkan.

Ini hak setiap rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau mahu ambil petikan hak orang Islam seperti yang dijaminkan oleh Allah S.W.T., ia ada disebutkan dalam al-Quran Surah Yaasiin ayat 19 (sebahagian ayat) yang bermaksud, “Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.”

Adakah sekadar mahu memberikan peringatan kepada masyarakat pun tidak boleh, sedangkan Islam berkata boleh.

Ringkasnya, beri layanan yang adil kepada semua rakyat.

Jika pemuda Umno pun boleh diberikan permit untuk berdemonstrasi semasa Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice membuat lawatan ke Malaysia, maka apa salahnya membenarkan pemuda PAS membuat demonstrasi di atas sesuatu isu rakyat yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Pokoknya aman tanpa provokasi.

Jika inilah syaratnya dan ini telah dipatuhi oleh parti pembangkang maka saya mahu bertanyalah “salahnya dimana?”

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

Written by irwanmuhammadzain

November 12, 2007 at 5:56 am

Posted in politik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: