sekadar sebuah catatan

Ucapan Nik Aziz ketika pelancaran ECER

leave a comment »

Bismillahir Rahmanir Rahim
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Maksud Surah An Nahl: Ayat 90).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera

Yang Amat Berhormat
Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia dan isteri;

Yang Amat Berhormat
Dato’ Sri Adnan bin Haji Yaakob
Menteri Besar Pahang;

Yang Amat Berhormat
Dato’ Seri Haji Idris bin Jusoh
Menteri Besar Terengganu;

Yang Amat Berhormat
Dato’ Haji Abdul Ghani Othman
Menteri Besar Johor;

YB Dato’ Seri Mohd. Effendi Norwawi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri;

Yang Berhormat
Menteri-Menteri Kabinet;

Yang Berhormat
Ahli-Ahli Parlimen Serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri;

Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan-Kerajaan Negeri;

Dif-Dif Kehormat;

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Alhamdulillah. Dengan seizin Allah S.W.T., sekali lagi kita dapat menghirup udara nyaman pada hari ini.

Ini menandakan betapa kita masih terus dilimpahi nikmat dengan rahmat dan inayah dari-Nya untuk sama-sama menyaksikan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi Negeri Kelantan.

Sesungguhnya pelancaran ini boleh dijadikan titik tolak ujian keikhlasan kedua-dua belah pihak dalam berkongsi anugerah Allah S.W.T. yang dilimpahi-Nya kepada kita semua baik di Kelantan atau negara Malaysia pada amnya yang sama-sama kita kasihi selama ini.

Bahkan, ia adalah detik bersejarah yang mengesahkan lagi penerusan wujudnya jalinan kerjasama akrab sekian lama khususnya sejak 17 tahun negeri ini diperintah oleh Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini.

Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan nanti tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda.

Kapal boleh berlayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat Ilahi.

Dalam semangat ini, mewakili Kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan, izinkan saya mengalu-alukan kedatangan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri.

YAB Dato Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Tugas pemimpin laksana dasar Allah

Ayat Al-Quran yang baru saya baca dalam muqadimmah tadi biasanya dibaca di atas mimbar Jumaat, saya membacanya pada hari ini di atas mimbar masyarakat.

Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah Allah kita disebut pemimpin dan rakyat.

Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar Allah manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan dasar-dasar Allah.

Setelah 17 tahun saya diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Kelantan dengan dasar Al-Quran Nul Karim sebagai Kalamullah, termasuk ayat yang saya baca sekejap tadi, petang ini saya dan Kerajaan saya seakan-akan terasa akan adanya perubahan baru.

Saya sedang berada di sebuah pentas buat pertama kalinya dengan pemimpin negara.

Alangkah manisnya hidup kiranya insan yang sengaja diciptakan Allah Azzawajalla dengan berlainan watak dan kerenah ini boleh patuh kepada ketetapan azali sejak Nabi Adam alaihissalam lagi.

Firman Allah S.W.T. ada membawa maksud berbunyi “Dan Kami berfirman: turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan. Kemudian (Adam dan Hawa) menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Kami berfirman: “turunlah kamu semua dari Syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 36 – 38).

Mudah-mudahan langkah penyatuan pentas ini akan memulakan jalur-jalur gemilang yang sungguh-sungguh sebagai ganti kepada jalur-jalur hitam selama 17 tahun sebelum ini.

YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin sekalian,

Saya sempat juga mengikuti senarai projek-projek raksasa yang ada terkandung di dalam pelan induk yang disebut-sebut akan menelan perbelanjaan berjumlah RM112 bilion ini.

Antara lain ia akan memuatkan sebuah Universiti yang telah beberapa kali dilancarkan, Lebuh Raya Pantai Timur, Jeti di Tok Bali dan usaha untuk menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai pusat penerbangan untuk rantau Asia Tenggara, termasuklah keinginan yang kuat untuk memunculkan satu kelas perdagangan dan perindustrian bumiputera.

Alhamdulillah, semua cadangan ini telah lama dikenalpasti dan menjadi sebahagian dari Pelan Jangka Panjang Pembangunan Strategik Negeri Kelantan yang telah kami dokumenkan dan tandatangani sejak 2 Mei 2000; kira-kira 7 tahun yang lalu.

Bahkan memahami pembahagian dan pengkhususan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui 2 rancangan lima tahun yang telah kita lalui.

Projek-projek cadangan ini telah dikemukakan kepentingannya untuk diberikan perhatian Pusat dari masa ke semasa.

Mungkin kerana kesuntukan kewangan, ia tidak diberikan perhatian.

Kali ini Kerajaan Negeri wajar berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana telah sudi mengiktiraf apa yang kami kenalpasti sebagai projek-projek mustahak selama ini dan akhirnya telah diberikan perhatian.

Pastikan pelan ECER realistik bukan hipokrasi

Menyentuh tentang peruntukan yang mencecah RM112 bilion untuk ECER, RM177 bilion lagi untuk Koridor Utara dan RM47.6 bilion lagi di Wilayah Pembangunan Iskandar, rakyat menjadi sedikit kagum dengan jumlahnya.

Semakin hairan mereka apabila duit yang diisytiharkan ini boleh menjangkau Rancangan Malaysia ke 9, 10 dan boleh pergi sejauh RMK sebelas.

Apapun, jika duit ini memang ada dan tidak menjadi masalah, maka kita perlu mengucapkan sebesar-besar syukur. Alhamdulillah, syabas.

Dalam banyak buku ilmiah, saya ada juga terbaca bahawa sesuatu pelan yang berkesan ialah pelan yang dapat diterima tanpa curiga oleh kumpulan sasar.

Ciri pelan yang berjaya juga ialah pelan yang dapat dilaksanakan.

Biasanya pelan pembangunan yang baik harus bertolak dan bermula dari bacaan mengenai senario ekonomi dunia semasa yang teliti berasaskan unjuran yang tepat mengenai turun naik harga petrol, emas dan lain-lain komoditi yang utama.

Realiti dan waqi’ persekitaran yang berubah ini biasanya akan menentukan pula angkubah-angkubah yang memungkinkan sebuah pelan yang realistik itu dapat diisytiharkan.

Saya berandaian, semua aspek ini telah diambil kira dalam segenap segi sehingga ia tidak menjadi sebuah impian dan bukan sekadar ‘satu lagi pelan’. Sememangnya indah untuk berada sekadar di alam mimpi kerana ia mengasyikkan:

Anak Cina memetik selasih
Anyam rotan dibuat timba
Tiada yang indah dalam berkasih
Mimpikan bulan jatuh ke riba

Dalam banyak hal, apa yang mustahak ialah pelan yang dapat menghasilkan kenyataan.

Siapalah yang tidak bergembira untuk mendengar janji yang akan datang dalam ratusan bilion ringgit.

Ini lebih-lebih lagilah apabila janji itu dipenuhi.

Sudah banyak kita saksikan betapa janji yang indah kadang-kadang boleh menjadi musuh besar apabila ia gagal dipenuhi. Kebocoran, siling runtuh, rasuah dan pecah amanah, inflasi dan hipokrasi adalah antara musuh-musuh bersama yang boleh menghambat cita-cita murni.

Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER

YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin sekalian,

Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita masih tidak diberi perhatian dalam ECER, saya masihlah memandang kepentingannya sebagai sesuatu yang bersifat mendesak.

Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu, kami masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok.

Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk.

Dengan penuh susah payah Allah S.W.T. telah ratusan jutaan tahun memeram, mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak bumi.

Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan tindak balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan segala ehsan menyimpan lalu menganugerahkan bumi Kelantan dan laut Kelantan dengan bahan semahal ini.

Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat ‘terlepas pandang’ dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pelan induk pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini.

Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami dipunggah dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa didaratkan di pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh.

Dalam feqah Islam, telah lama ditulis “hukmul fa il wal khu roji wa rriqaz”.

Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh dipindah zakat itu ke tempat lain kecuali terlebih dahulu diagih-agihkan kepada al mustahiqiin tempatan.

Ini adalah hukum Allah dan Rasul. Tak disempurna di dunia oleh pihak al-umara’, ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak.

“Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya.” (Surah Ad-Dukhaan: Ayat 40).

Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, kita telah meluluskan penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan Kubur, Tumpat, khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas di Joint Development Area (JDA) dengan Thailand dan Vietnam, di luar pesisir pantai Kelantan.

Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan.

Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita mengetepikan sentimen politik bersifat kepartian.

Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu’ ini sebagai perkara bersama untuk dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama.

Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani persefahaman ini bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996 dahulu.

Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah ‘pelan indah’ yang tidak menjadi hingga sampai ke hari ini.

Pembinaan modal insan tidak berjaya kecuali dengan tarbiyah Islam

YAB Dato’ Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian.

Dalam hubungan Kelantan yang telah dikenalpasti sebagai Pusat Pembangunan Modal Insan berteraskan ilmu pula, saya bermohonlah untuk memberikan sedikit peringatan.

Mustahil insan itu boleh dibina tanpa agama. Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan roh.

Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, adanya taat dan maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis, adanya hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya Neraka.

Ini soal asas yang tiada khilaf. Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi’in dan wali-wali zaman berzaman.

Jika Kelantan mahu diiktiraf sebagai pangkalan terpenting modal insan, maka kita jangan abaikan aspek pembinaan roh.

Elemen rasuah, dedah, dadah, belasah dan menolak hukum Allah adalah manifestasi kekacauan fikrah.

Betapa kacau bilaunya acuan dan tertib tarbiyyah kita yang telah dirangka oleh negara selama ini.

Ikut cara kami bangunkan negara bersama Islam

Untuk itu, mari kita cuba menjadi lebih ikhlas dengan cuba sama-sama memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia untuk kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras dengan prinsip asal ‘ubudiyyah’ sejak asal kita semua dijadikan.

Bagi kami di Kelantan, kita telah lama mengisytiharkan konsep ‘Membangun Bersama Islam’, berasaskan dakwah bil hikmah wal mauizotul hasanah.

Dalam rangka konsep ini, kami memuatkan prinsip ubudiyyah yakni semua orang wajib kembali kepada pengabdian yang tidak berbelah bahagi kepada Allah S.W.T.

Bagi mereka yang belum Islam, mereka diajak untuk hidup dalam kesedaran ketuhanan.

Kami juga memuatkan prinsip mas’uliyyah yakni bekerja dengan penuh sedar bahawa setiap manusia tanpa mengira pangkat, bangsa dan budaya akan disoal jawab oleh Allah Taala sendiri tanpa sebarang jurubahasa.

Manakala Itqan yakni bekerja dengan penuh berkualiti untuk menghasilkan apa sahaja nilai amalan dan aktiviti dari jenis yang terbaik.

Seluruh sekolah milik Kerajaan Negeri Kelantan telah dan sedang merangka dan melaksanakan kurikulum dan kokurikulum untuk menggunakan ruang lingkup kesedaran yang keseluruhannya berteraskan ketaqwaan kepada Allah Robbuljalil.

Dalam semangat pesan memesan (Watawa soubilhaq watawa soubissobr), alangkah tepatnya jika pelan pembinaan insan yang termuat dalam ECER ini mampu dengan jujur membuat pengisian-pengisian yang semurni ini.

Jika tidak, percayalah walau secemerlang manapun pelan pembinaan insan kita, tanpa agama, rakyat akan hidup sebagai insan yang bermentalitikan haiwan kerana dia cuma takutkan polis dan BPR, undang-undang, tali gantung dan peraturan dan dia akan hidup dan mati dalam kekeliruan.

Di sana nanti dia akan terpinga-pinga dalam suasana yang salah menyalah “maka, berkatalah pengikut kepada pemimpin dan pemimpin kepada pengikutnya” sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran Nul Karim. (Sila semak dan tadarrus sendiri maksud Surah Al-Baqarah dari Ayat 166 hingga 167).

Menyentuh tentang tumpuan pertanian yang khabarnya hanya akan diberikan tumpuan yang sangat minimum oleh Pelan Wilayah Timur ini, saya kira sekali lagi kami perlu membuat teguran.

Sejak dari dahulu, Kelantan dikenali sebagai negeri pertanian. Apa erti mengisytiharkan istilah-istilah seperti “halal hub” atau Jelapang Makanan Negara jika perhatian ke atas sektor ini sekadar bersifat batuk di tangga? Sekali lagi saya mengharapkan sesuatu yang lebih singnifikan dapat dilakukan ke arah pembetulan ini.

Mari bermuafakat elak ganggu Kelantan

YAB Dato’ Seri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Sudah lebih 17 tahun kita menjalin hubungan kesetiakawanan dalam ikatan konsep persekutuan.

Setakat yang saya ingat, tidak pernah satu kalipun lagi terganggu sebarang projek yang diluluskan oleh Pusat di Kelantan baik kecil mahupun besar mengalami gangguan atau dihalang oleh Kerajaan Negeri.

Melalui permuafakatan dan rundingan, ia sentiasa disambut oleh kami dengan penuh keterbukaan.

Bagaimanapun beradablah ketika melangkah. Bukankah ini Wilayah Timur. Setiap rumah ada tuannya. Masuk berpintu. Keluar bertangga. Kadang-kadang, ya. Terasa juga.

Makan sirih berpinang tidak
Buah keranji atas perahu
Singgah tidak kenang pun tidak
Sampai hati buat tak tahu

Hanya inilah kali pertama saya diberi kesempatan untuk berucap di majlis yang dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri. Apapun jua, syukurlah. Saya mengucapkan Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pelancaran ini.

Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Written by irwanmuhammadzain

October 30, 2007 at 4:08 am

Posted in politik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: