sekadar sebuah catatan

Demokrasi yang hampir mati…

with one comment

Dari dulu hingga kini (tetapi tak mungkin selamanya) Umno-BN mendabik dada mempertahankan kononnya demokrasi terus wujud di Malaysia. Asas hujah Umno-BN ialah kerana pembuangan undi dalam pilihan raya umum masih lagi dijalankan.

Dalam sebuah negara di mana parti yang memerintah sejak merdeka menganggap dirinya mustahil membuat kesilapan, rakyat dibutakan dengan hujah seperti itu.

Pembuangan undi yang menjadi hujah kewujudan demokrasi Umno-BN hanyalah sebenarnya sistem demokrasi, namun sebenarnya prinsip yang menjadi asas kepada bentuk demokrasi itu tidak sepenuhnya diguna pakai oleh Umno.

Pernahkah rakyat biasa diberitahu oleh pemimpin Umno-BN bahawa asas kepada prinsip demokrasi adalah ‘doktrin pengasingan kuasa’. Sekiranya doktrin ini tidak dipatuhi maka demokrasi tidak mungkin wujud sama sekali. Sekadar mengundi dalam pilihan raya sahaja bukanlah demokrasi.

Doktrin pengasingan kuasa mengkehendaki ketiga-tiga badan yang secara langsung bersabit dengan rakyat diasingkan dan bebas di antara satu sama lain. Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman mestilah tiga badan yang berasingan dan tidak boleh menguasai atau mempengaruhi di antara satu dengan yang lain.

Badan Eksekutif yang terdiri daripada kabinet dan diketuai oleh Perdana Menteri menjalankan tugas eksekutifnya. Badan eksekutif tidak berhak membuat sebarang undang-undang atau mencampuri sebarang urusan mahkamah termasuk pelantikan hakim-hakim.

Badan eksekutif juga tidak berhak memperalatkan Perkhidmatan Awam selain daripada tujuan menjalankan kewajipannya menurut apa yang telah termaktub dalam undang-undang. (Inilah sebabnya mengapa Perkhidmatan Awam diletakkan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam supaya kebebasannya dari unsur-unsur politik dan dari diperalatkan untuk kepentingan politik sentiasa terjamin demi demokrasi dan demi memberi perlindungan kepada rakyat).

Badan Perundangan yang turut disertai oleh ahli-ahli daripada parti pembangkang dalam Parlimen dan DUN membuat undang-udang bagi kepentingan rakyat. Perlembagaan mengkehendaki sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan ia perlulah dibaca sebanyak tiga kali dan dibahaskan. Peruntukan dalam Perlembagaan ini dibuat agar undang-undang yang diluluskan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan mana-mana golongan tertentu yang mana boleh menjejaskan golongan lain dan sudah tentunya bukan untuk menjaga kepentingan parti yang memerintah.

Dan lagi bagi melindungi hak rakyat dan memastikan pembikinan undang-undang tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik parti pemerintah, persetujuan raja diperlukan. Kalau Parlimen atau DUN buat undang-undang tapi Raja tak bersetuju maka ia tidak boleh dikuatkuasakan. (Begitupun peruntukan persetujuan diraja ini telahpun dipinda).

Badan Kehakiman juga terletak di bawah Suruhanjaya Kehakiman bagi memastikan kebebasannya. Makna ‘Yang DiPertuan Agong melantik’ hakim atau Ketua Hakim Negara ‘atas nasihat Perdana Menteri’ sebenarnya menunjukkan bahawa yang mempunyai autoriti terakhir ke atas pelantikan tersebut ialah Yang DiPertuan Agong dan bukannya Perdana Menteri. Sekiranya ia bermaksud sebaliknya, maka tidak perlulah pelantikan tersebut dibuat oleh Yang DiPertuan Agong, cukuplah Perdana Menteri sahaja yang melantik hakim atau Ketua Hakim.

Tetapi menurut prinsip demokrasi, ini tidak boleh berlaku. Jika Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk melantik hakim dan Ketua Hakim, maka sudah tidak ada lagi demokrasi. Pelantikan seperti ini hanyalah digunakan dalam sistem pendiktatoran di mana segala-gala kuasa berada dalam tangan Ketua Eksekutif.

Disebabkan rakyat biasa tidak dididik tentang prinsip demokrasi yang sebenarnya tetapi cuma diyakinkan oleh Umno-BN bahawa demokrasi wujud kerana kita masih membuang undi dalam pilihan raya, maka rata-rata rakyat Malaysia benar-benar yakin bahawa demokrasi wujud di negara ini.

Sebenarnya demokrasi boleh diselamatkan. Kita mempunyai masa 50 tahun untuk melakukannya. Namun disebabkan ciri demokrasi yang mengkehendaki kebebasan dan hak menggunakan media secara saksama juga turut dicemari, maka kita masih belum dewasa dalam politik apabila kita tidak dapat merasionalisasikan dalam minda kita tentang sistem dua parti.

Sekiranya kita sememangnya dewasa dalam hal ini dan sekiranya prinsip dan ciri demokrasi dihormati oleh Umno-BN, maka sudah tentu PAS turut mendapat peluang menjadi sebuah parti alternatif bagi memerintah negara ini. Dari segi usia dan pengalaman politik, Umno hanyalah 5 tahun lebih dahulu dari PAS. (Di Amerika Syarikat jarak masa penubuhan di antara parti Republican, Democratic dan Federalist juga agak jauh. Begitu juga di Britain, di mana pertubuhan parti Labour dan Conservative juga terpisah begitu jauh).

Dalam konteks ini, kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr. Lo’Lo Haji Mohd Ghazali agar PAS diberikan peluang untuk memerintah negara ini bukan sahaja berasas malah begitu penting untuk difikirkan dan perlu diberikan sokongan padu agar demokrasi dapat diselamatkan dari terus berkubur di bumi Malaysia.

Kalau kita masih tak faham apa dia demokrasi, belajarlah dari orang lain yang telah lebih lama menggunakan bentuk kerajaan yang sedemikian.

Dalam ucapan pertamanya selaku Presiden ketiga Amerika Syarikat (4 March 1801), Thomas Jefferson menyebut: “We are all Republicans, we are Federalists”.

Yang penting bukannya parti politik yang memerintah, tetapi yang diperintah mendapat perlindungan, keadilan dan peluang kemakmuran yang sama rata.

Written by irwanmuhammadzain

October 7, 2007 at 3:42 am

Posted in politik

One Response

Subscribe to comments with RSS.

  1. nice write up. baru aku paham pasal demokrasi. hidup demokrasi tulen.

    kewl

    October 11, 2007 at 1:32 am


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: