sekadar sebuah catatan

ya benar Najib

with 6 comments

Written by irwanmuhammadzain

January 5, 2008 at 1:28 pm

Posted in politik

PAS dan isu kebebasan beragama

with one comment

Posting ini dicopy dan paste dari http://anakbapa.blogspot.com

Terlalu banyak diperkatakan tentang hak asasi manusia dan kebebasan beragama di negara kita sejak kebelakangan ini. Dakwaan orang-orang Hindu (melalui Hindraf) berhubung isu perobohan kuil-kuil mereka dan terbaru cadangan beberapa orang ahli parlimen UMNO supaya dibuang lambang-lambang Kristian seperti tanda salib dan patung di sekolah-sekolah tertentu telah menghangatkan lagi suasana politik negara yang telah pun sedia panas. Kadang-kadang kita rasa hairan bagaimana selepas 50 tahun memerintah, UMNO dan BN masih lagi terkial-kial mencari penyelesaian isu perkauman dan agama di tanah air kita. Malah tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa macam ada satu agenda tersembunyi UMNO dan BN, acapkali rakyat menolak mereka maka mereka akan mainkan isu perkauman dan agama untuk menarik kembali sokongan kaum masing-masing.

Berikut cuba kita teliti kenyataan dan pengakuan pihak ketiga berhubung tindakan kerajaan Kelantan yang diterajui PAS berkaitan isu di atas.

Terdapat lebih daripada 30 buah kuil Buddha di seluruh Kelantan. Ini adalah agak pelik memandangkan penduduk Kelantan terdiri daripada 95% beragama Islam. Antara kuil yang paling popular ialah Wat Pothvihan yang terletak di Cabang Empat, yang menempatkan patung Buddha yang panjangnya 40m. Patung yang sedang berbaring ini dianggap antara yang terbesar di dunia dalam kategori yang serupa dan ia dikenali sebagai “the sleeping Buddha”. Wat Uttamaram pula yang terletak di Pasir Mas dianggap sebagai kuil Buddha tertua dan tercantik di Malaysia…..

(The most popular Buddhist temple in Kelantan would be the Wat Pothvihan near Cabang Empat, which houses the 40m long reclining Buddha (one of the largest of its kind in the world) draped in pink robes — it is larger than the one in Wat Chaiya Mangkalaram in Penang. This statue took six years to build. It is known as the sleeping Buddha…..)

– Petikan daripada Wikipedia

Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS telah menulis surat kepada Malaysiakini mengutuk tindakan merobohkan kuil Hindu di Kampung Rimba Jaya. Malah wakil PAS berkenaan telah menyatakan kekesalan yang amat sangat terhadap bagaimana kasar isu berkenaan ditanggani. Sesuatu yang menghairankan! Saya maksudkan, ini adalah PAS, Parti Islam Se Malaysia. Kuilnya pula adalah untuk penganut agama Hindu. Sepatutnya ia bukanlah perkara yang perlu mereka beri perhatian. Mungkin PAS bukanlah golongan yang 100% tidak boleh bertolak ansur sebagaimana yang cuba digambarkan oleh pihak-pihak tertentu. Kelantan, yang diperintah oleh PAS, juga menempatkan Wat Pothvihan, patung Buddha yang sedang berbaring terbesar di Asia Tenggara. Ada juga khabar angin yang tersebar bahawa PAS malah telah membenarkan kuil Hindu dibina di kawasan parlimen yang mereka baru menangi. Orang-orang Hindu telah cuba mendapatkan kebenaran daripada AP terdahulu, yang dari parti lain, bertahun-tahun lamanya tetapi gagal. Mungkin sudah sampai masanya kita melihat dengan lebih lanjut apa yang PAS ingin tawarkan kepada rakyat…..

(Mujahid Yusof Rawa, Chairman of National Unity Bureau of PAS had written a letter to Malaysiakini condemning the demolition procedures of the Hindu temple in Kampung Rimba Jaya. In fact, the PAS representative had expressed deep regret over the violent manner the issue was handled. Surprising isn’t it? I mean, this is PAS, the Islamic Party of Malaysia. The temple was of the Hindu religion. It is supposed to be no concern of theirs. Perhaps, PAS is not 100% intolerant as certain parties painted it to be. Kelantan, the state in which PAS reigns, houses Wat Photivihan, biggest reclining Buddha statue in Malaysia. There were rumours circulating that PAS even allowed a Hindu temple to be built in one of their newly obtained constituency. The Hindus were asking for permission from a previous MP of another party for years but to no avail. Maybe it is high time that people take a deeper look at what PAS has to offer for the people…..)

http://www.sagaladoola.blogspot.com

Di Kelantan (di mana kami dibesarkan), kerajaan fundamentalis Islam PAS di Kelantan dan cawangan-cawangan PAS pun tidak pernah membantah kuil Sivan Hindu ditempatkan di tengah-tengah 99.99% kampong Melayu di Kota Bharu. Malah, Menteri Besar Kelantan telah meluluskan 1 ekar tanah tambahan berhampiran kuil Hindu yang sedia ada supaya kuil berkenaan dapat dibina dengan lebih teratur dan lebih besar kerana seluruh kampong Melayu terpaksa dipindahkan untuk memberi laluan kepada pembesaran Bandar Kota Bharu. Kuil Hindu yang baru ini sekarang berdiri megah di tengah-tengah Bandar Kota Bharu. Juga, Kuil Hindu Sri Maha Mariamman yang terletak di tengah-tengah kawasan kuat PAS di Tumpat, Kelantan yang dikelilingi oleh 99.99% orang-orang Melayu juga tidak pernah menghadapi sebarang masaalah…..

(In Kelantan (where we were brought up), even the fundamentalist Islamic PAS government in Kelantan and PAS branches had never objected to the Sivan Hindu temple being located in the midst of a 99.99% Malay village in Kota Bahru. In fact the said Kelantan PAS Chief Minister had granted a bigger one acre nearby land for this Hindu temple to be properly relocated built and expanded as the said whole malay village had to make way for the Kota Baru town expansion. This brand new Hindu temple now sits majestically in the heart of Kota Bahru town. Further, the Sri Maha Mariamman Hindu Temple in the fundamental Islamic PAS stronghold in Tumpat, Kelantan is also surrounded by 99.99% Malays but we never ever had problems…..)

– Hindraf in http://www.bangkit.net

Kerajaan yang diterajui PAS di Kelantan tidak pernah merobohkan satu pun kuil Hindu atau kuil Buddha. Malah, patung Buddha berbaring yang terbesar di Asia Tenggara bukanlah di Thailand tetapi di Kelantan, di Kampung Neting, Tumpat, di tempat saya dibesarkan. Kerajaan PAS tidak merobohkan kuil-kuil, hanya kerajaan UMNO yang merobohkan kuil-kuil…..

(The PAS-led government in Kelantan has not broken a single Hindu or Buddhist temple. In fact the largest sleeping Buddha in Southeast Asia is not in Thailand but in Kelantan in Kampung Neting, Tumpat, where I grew up. The PAS-led government does not break temples, only the Umno-lead government breaks temples…..)

– Uthayakumar in malaysiakini.com

Pernah pada satu hari MB Kelantan (Tok Guru Nik Aziz) telah mendapati salib di sebuah gereja di Kota Bharu telah tiada (yakni salib gereja tertua dan terbesar di Kota Bharu, Church of Our Lady Fatima). Lantas beliau pun bertanya kepada Dato Annuar Tan (EXCO Kerajaan Negeri) kemana perginya salib besar di atas gereja berkenaan? Rupanya Tok Guru perasan yang salib di gereja berkenaan telah tiada. Tok Guru mengarahkan Dato Annuar supaya menyiasat jika salib itu diturunkan atas arahan mana-mana pihak samada PBT atau kerajaan negeri, maka ianya mesti dinaikkan kembali. Setelah disiasat didapati bahawa pihak gereja yang menurunkannya untuk kerja-kerja pengubahsuaian…..

(It happens that one day, the CM of Kelantan, Tok Guru Nik Aziz found that a cross fronting the oldest church in Kelantan (Church of Our Lady Fatima) was missing. He immediately consulted Dato Annuar Tan (the state’s EXCO) on the cross’s disappearance. It is surprising that he noticed the cross was missing. Tok Guru instructed Dato’ Annuar to investigate if the cross was brought down upon instruction from local authority or state government, and if it is so then it must be reinstated. Upon investigation, it was found that it is the church authority which brought down the cross for some repair works…..)

– Hu Pang Chow, Pengerusi Kelab Penyokong PAS

Ini hanyalah sebahagian daripada testimoni pihak ketiga berhubung layanan baik kerajaan PAS Kelantan kepada kaum dan agama lain di negeri yang penduduk Islamnya melebihi 95%. Ini belum kita berbicara mengenai bagaimana PAS membantu sekolah-sekolah Cina dan menyelesaikan masaalah hakmilik tanah mereka dan lain-lain lagi. Semua ini adalah contoh praktikal yang telah ditunjukkan oleh PAS dan bukan retorik semata. Saya bersetuju dengan saranan saudara Sagaladoola bahawa sudah tiba masanya rakyat Malaysia meneliti betul-betul parti PAS dan segala tawaran mereka kepada rakyat.

Anak Bapa: Sejarah tidak akan menipu kita kerana faktanya tercatat jelas untuk dilihat semua. Peristiwa hitam 13 Mei umpamanya, memaparkan dengan jelas wajah sebenar PAS. Ketika peristiwa ini berlaku kebetulan PAS yang memerintah Kelantan. Di kala negeri-negeri yang diperintah UMNO berlaku pertumpahan darah sesama kaum, di Kelantan satu bulu roma kaum lain pun tidak disentuh oleh penduduknya majoriti Melayu Islam. Malah kerajaan PAS pada masa itu telah mengeluarkan arahan kepada penduduk Melayu Islam supaya melindungi kaum lain daripada sebarang ancaman dan bahaya. Ini satu hakikat yang tiada sesiapa boleh nafikan. Cuba kita ramai-ramai renungkan…..

Written by irwanmuhammadzain

December 27, 2007 at 3:17 am

Posted in politik

GASAK

leave a comment »

Sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Gerakan Anti-Salah Maklumat (GASAK) ditubuhkan pada 29 November lalu untuk memberi penerangan ke seluruh negara bagi menyedarkan masyarakat agar tidak terus dipermainkan oleh media yang dikuasai oleh parti politik yang berkuasa dan pemegang saham yang mempunyai kepentingan dalam kerajaan.

Jawatankuasa penaja GASAK menggariskan tiga tuntutan minima yang melibatkan badan media di negara ini, iaitu:

1. Hentikan salah lapor.

2. Laporan seimbang kepada semua pihak.

3. Kebebasan editorial.

GASAK merancang untuk mendapatkan sokongan yang lebih besar daripada parti-parti pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), blogger, individu, wartawan serta penulis untuk bersama menjayakan matlamat tersebut.

Written by irwanmuhammadzain

November 30, 2007 at 2:01 am

Posted in politik

Ucapan Nik Aziz ketika Belanjawan Kelantan 2008

leave a comment »

Belanjawan Kelantan 2008, bersemangatkan penjimatan dan keadilan

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

“Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut? Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.” (Surah Al-Insaan: Ayat 1-3)

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Alhamdulillah, saya merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah Azzawajalla, Tuhan yang Maha Perkasa, Maha Pengurnia, Maha Adil lagi Maha Penyayang, Kesyukuran seluas keredhaan Allah ke atas diriNya sendiri, sebanyak makhluk ciptaanNya, seberat arasyNya dan seluas ilmuNya di atas izin dan kurniaNya yang membolehkan saya membentangkan Anggaran Belanjawan Negeri kali ke-18 sejak tahun 1991.

Ayat yang baru saya bacakan sekejap tadi merupakan kertas kerja asal Allah SWT. mengenai tujuan penciptaan manusia sejak azali. Allah SWT memperingatkan manusia tentang tujuan dia didatangkan ke muka bumi untuk diuji dengan perintah dan larangan.

Melihat dan mendengarkah dia untuk memahami dan melaksanakan arahan atau sebaliknya? Seterusnya, Allah SWT telah dengan tegas menjelaskan bahawa di sana adanya jalan yang lurus yang ditunjukiNYA di mana ada orang yang mensyukuri dan ada pula mereka yang mengkufurinya.

Oleh kerana Belanjawan adalah sebahagian yang penting dari perancangan manusia yang bertaraf makhluk kepada Al-Khaliq, maka pembentangan belanjawan mesti pada asasnya mendukung setiap prinsip ketetapan suruhan dan larangan Ilahi. Dengan kata lain, Belanjawan kali ini juga sedang diuji akan nilai perhambaannya.

Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa sedar tentang hal ini, maka kita telah dan akan sentiasa cuba membawa kesedaran yang setiap sen wang rakyat dari apa yang bakal dibelanjakan di tahun 2008 nanti benar-benar bersemangatkan penjimatan dan keadilan sepenuhnya, Insya-Allah.

Bahkan, belanjawan kali ini adalah penerusan kepada cita-cita dan komitmen kerajaan Negeri yang telah dibentuk sejak 17 tahun lalu. Bajet yang bertemakan ‘belanjawan rakyat’ pada kali ini benar-benar berhasrat untuk membawa negeri dan rakyatnya ke satu tahap pembangunan sosio-ekonomi dan pembangunan insan seimbang yang seutuhnya.

Belanjawan ini akan meletakkan sekeping lagi batu-bata ke arah menyempurnakan lagi sebuah rumah yang sedang sama-sama kita bangunkan di negeri ini dalam semangat ‘Membangun Bersama Islam’.

Perlu juga difahami bahawa belanjawan bukan setakat sebuah alat perancangan yang cuma mementingkan pertumbuhan (growth) untuk tahun berikutnya. Di hujung perancangannya, belanjawan harus mementingkan pengagihan kemakmuran yang lebih saksama dan sekaligus memberi tekanan yang secukupnya untuk membina spritual rakyat ke arah memacu pertumbuhan rohani dan kebendaan yang berimbang kepada setiap warga di dalam negeri. Keseimbangan inilah yang disebut sebagai pembangunan insan tanpa mengira perbezaan kaum dan faham politik.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Saya mohon mengingatkan kembali diri saya dan semua orang kepada apa yang pernah saya sebutkan di dalam persidangan Dewan yang mulia ini pada tahun 1991.

Ajaran Islam yang kita anuti meletakkan Dewan-Dewan Undangan Negeri atau mana-mana Parlimen sebagai satu Dewan yang mulia kerana ia tempat untuk memproses pemikiran ahli-ahli YB sekalian bagi tujuan mencari jalan, menyediakan perancangan bajet dan tatacara pelaksanaan berasaskan undang-undang azali yang telah dicipta oleh Allah Azzawajalla.

Ibarat sebuah kilang kayu yang didirikan bukan untuk mencipta kayu tetapi untuk merancang dan memproses kayu itu untuk menjadi bahan siap atau separa siap, maka demikian juga dengan kedudukan Dewan yang ada pada hari ini.

Sepatutnya, Dewan hanyalah tempat untuk akur dengan undang-undang yang telah diputuskan prinsipnya oleh yang Maha Pencipta di dalam kitab suci Al-Quran.

Dari prinsip undang-undang pokok itulah, baru kita dibolehkan menggubal, membahas, merancang, membuat belanjawan dan melaksanakan apa jua undang-undang, peraturan, atau program yang selaras dengannya untuk maslahat umum rakyat jelata sekalian.

Peringatan ini saya kira penting supaya Dewan yang mulia ini terus kekal kemuliaannya kerana tidak menyalahi tertib dan keutamaan. Apa yang mulia disisi Allah wajib sentiasa didahulukan. Apa yang ada di sisi manusia harus sentiasa selaras dan berada di bawah dari kepentinganNya.

Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Selaras dengan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 29 Oktober 2007 di Kota Bharu tiga minggu yang lalu, izinkan saya sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri.

Semoga ia akan meletakkan satu pancang utama ke arah pembaharuan semangat kerjasama berkonsepkan federalisme yang seikhlas-ikhlasnya. Jika keliru di tengah jalan, kita kembali ke pangkal jalan. Dalam hal ini, usah diragui akan kerjasama dari pihak kerajaan negeri.

Yakinlah bahawa apa juga program yang bakal memberi manfaat kepada Islam dan seluruh rakyat akan didukung oleh kerajaan yang ada semampu dan sekudratnya.

Tidak kami diajak turun mengusung makruf melainkan turunlah kami. Tidak kami diseru menentang kemungkaran melainkan berkerislah kami walau diajak di malam buta.

Ekonomi global diramalkan bakal terus berkembang pada paras sederhana iaitu 5.2 peratus pada tahun ini, akibat dari kenaikan harga minyak mentah dan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat.

Meskipun pertumbuhan pada tahun ini adalah rendah sedikit berbanding dengan tahun 2006, ia dijangka kekal kukuh dengan aktiviti ekonomi terus meningkat khususnya di negara membangun yang berkembang pesat seperti China, India dan Russia, di samping pemulihan di Eropah dan Jepun.

Manakala inflasi dunia telah meningkat akibat kenaikan harga minyak, namun ia masih di paras yang terkawal.

Di negara maju, pemulihan ekonomi dijangka lebih menyeluruh lantaran pemulihan di Eropah dan Jepun, yang membantu mengimbangi pertumbuhan yang lembab di Amerika Syarikat. China, India dan Rusia dijangka menyumbang lebih dari separuh pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun ini.

Pertumbuhan yang lebih menyeluruh pada tahun ini dijangka akan berterusan ke tahun 2008, dengan perdagangan dan pelaburan dunia berkembang secara lebih utuh dan dalam keadaan inflasi di paras yang terkawal.

Inflasi secara keseluruhannya masih terkawal di sebalik pertumbuhan ekonomi dunia yang kukuh. Walau bagaimanapun, sesetengah negara yang berkembang pesat dan beberapa negara membangun lain akan mengalami tekanan inflasi disebabkan kenaikan harga tenaga dan makanan.

Harga minyak mentah dijangka akan kekal tinggi menghampiri 100 USD setong yakni bersamaan dengan RM 334 disebabkan kekangan kapasiti pengeluaran dan peningkatan permintaan, sementara harga makanan akan naik sedikit berikutan bekalan berkurangan akibat faktor cuaca dan penggunaan biofuel yang semakin meningkat.

Dalam konteks inilah wajarnya desakan untuk mendaratkan minyak ke pesisir pantai kita yang di temui di Senok sudah berbelas tahun yang lalu disokong sekuat-kuatnya oleh Ahli-Ahli Dewan sekelian untuk mengurangkan beban dan mengaut rahmat kesan limpahan darinya demi kepentingan rakyat dan bumi Kelantan.

Di negara maju, inflasi diunjurkan 2.0 peratus manakala di negara membangun diunjurkan pada paras 5.7 peratus. Di rantau ASEAN, ekonomi Thailand dijangka berkembang sebanyak 4.5 peratus dan Singapura tumbuh sebanyak 7 peratus, manakala Vietnam pula mencatat peningkatan sebanyak 7.9 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2007. Pertumbuhan ekonomi di negara ASEAN itu didorong oleh peningkatan pelaburan serta pengukuhan eksport produk bukan minyak.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia dijangka bakal meraih manfaat daripada perkembangan berterusan perdagangan dunia. Ekonomi negara dijangka berkembang antara 6 peratus hingga 6.5 peratus pada tahun 2008.

Ini disumbangkan secara positif daripada semua sektor ekonomi dengan diterajui oleh permintaan domestik dan permintaan luar yang diunjurkan naik selaras dengan prospek perdagangan dunia pada tahun hadapan.

Sebagai sebuah kerajaan Negeri dalam sebuah Negara Malaysia, sekaligus tertakluk pula kepada iklim ekonomi serantau dan dunia, Belanjawan Kerajaan Negeri pada kali ini adalah bersifat amat berhati-hati ke arah mengimbangi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan kemampuan kewangan Kerajaan.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Dalam kesempatan ini, izinkan saya mempersembahkan ucapan junjung kasih yang tidak terhingga di atas limpah ampuni perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan berangkat ke Dewan Persidangan ini dan seterusnya menyempurnakan perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) bagi tempoh Penggal Yang Keempat Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Kesebelas.

Selaku Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, marilah sekali lagi kita satukan pembaharuan azam dan tekad untuk memberi khidmat yang terbaik bagi memenuhi harapan dan amanah rakyat. Marilah sama-sama kita berbincang dan berbahas dalam Dewan yang mulia ini dengan penuh adab susila serta memberi cadangan-cadangan yang bernas dan konstruktif bagi memajukan negeri kita yang tercinta ini demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyatnya.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Pada keseluruhannya prospek ekonomi negeri Kelantan bagi tahun 2008 Insya-Allah dijangka kekal selesa walaupun pertumbuhan global dijangka agak sederhana berikutan kesan kenaikan harga minyak, ketegangan geopolitik dan meningkatnya inflasi yang dijangka terus berada di paras sederhana tinggi.

Ekonomi negeri Kelantan yang didokong oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan dijangka masih mampu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan ia akan disokong oleh pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang tinggi serta pertumbuhan dalam industri pelancongan dan kewangan.

Di samping itu, perkembangan positif dalam pelbagai aktiviti pertanian termasuk akuakultur, hortikultur dan ternakan dijangka akan mampu meningkatkan pertumbuhan dalam sektor pertanian.

Industri berasaskan pertanian dengan nilai tambah yang tinggi terutama dalam bidang penternakan, akuakultur dan perladangan buah dan sayur-sayuran serta pemprosesan makanan akan diberi penekanan berterusan sebagai bidang yang berpotensi besar untuk diterokai sama oleh pelabur swasta. Ia mampu mengubah prospek sektor pertanian menjadi sumber pertumbuhan yang cergas dan berdaya maju.

Demikian juga dengan aktiviti pembinaan khususnya dalam subsektor harta kediaman dan perumahan kos rendah dan mampu milik, dijangka dapat meningkatkan industri pembinaan dalam negeri.

Rangsangan pertumbuhan ekonomi negeri akan turut memberi tumpuan kepada sektor-sektor utama perkhidmatan, pertanian dan pembuatan serta pelancongan menerusi langkah-langkah yang proaktif dan agresif sebagai penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi negeri. Tumpuan ini adalah penting kerana sektor-sektor tersebut terutama sektor pertanian merupakan penyumbang paling tinggi kepada gunatenaga dalam negeri.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

‘Bajet rakyat’ yang menjadi tema pada kali ini akan memberi fokus kepada 4 perkara utama iaitu :

Pertama : Penjanaan Ekonomi Pelbagai Lapisan Rakyat;

Kedua : Pembinaan Insan Berteraskan Islam;

Ketiga : Pembinaan Perumahan Mampu Milik; dan

Keempat : Pembelaan Golongan Dhaif dan Miskin, Orang Kurang Upaya, Anak Yatim, Armalah dan Warga Emas.

Strategi Belanjawan

Berasaskan tema yang dikenalpasti dan selaras dengan aspirasi rakyat, Bajet 2008 menggariskan strategi-strategi berikut:-

(a) Memantapkan pendekatan pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di antara pembangunan fizikal dan rohani untuk pelbagai lapisan rakyat.

(b) Mempertahan dan memacukan pertumbuhan ekonomi negeri yang stabil serta berdaya maju dengan tumpuan kepada program-program bagi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

(c) Meneruskan dasar berjimat cermat dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah serta mengembelingkan usaha untuk meningkatkan hasil negeri melalui pemantapan jentera kutipan hasil dan penguatkuasaan.

(d) Memantapkan urustadbir yang baik dengan mengutamakan ketelusan dan kecekapan menerusi pentadbiran yang berlandaskan Ubudiyyah, Mas’ulliyyah dan Itqan.

(e) Meningkatkan prestasi industri kecil dan sederhana serta peluang-peluang baru dalam sektor pertanian menerusi pelbagai teknik pemodenan.

Bajet Negeri Tahun 2008

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Bajet Negeri Kelantan Tahun 2008 merupakan belanjawan defisit di mana anggaran hasil yang bakal diperolehi ialah berjumlah RM 401.00 Juta, manakala Perbelanjaan Mengurus dianggarkan berjumlah RM 424.73 juta.

Oleh itu defisit bagi tahun 2008 adalah bertambah sedikit menjadi RM 23.73 juta berbanding dengan defisit dalam bajet tahun 2007 yang lalu berjumlah RM 20.73 juta.

Anggaran Hasil Tahun 2008 berjumlah RM 401.00 juta telah menunjukkan penurunan berbanding Anggaran Hasil Tahun 2007 yang berjumlah RM 427.47 juta. Perbelanjaan mengurus mencatat penurunan, namun penurunan tersebut masih tidak dapat menampung sepenuhnya dengan jumlah hasil yang dijangka dapat dipungut pada tahun hadapan.

Anggaran hasil tahun 2008

Anggaran Hasil Negeri pada Tahun 2008 dijangka akan diperolehi sebanyak RM 401.00 juta, yang meliputi Hasil Cukai berjumlah RM 74.25 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 227.85 juta, sementara Terimaan Bukan Hasil bakal berjumlah RM 98.90 juta.

Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya penurunan dalam hasil yang berjumlah RM 26.47 juta, atau 6.19 peratus, berbanding dengan Anggaran Hasil Tahun 2007 yang berjumlah RM 427.47 juta.

Sumber hasil negeri hasil kerajaan negeri Kelantan 2008

Penurunan hasil pada Tahun 2008 adalah berpunca daripada penurunan beberapa sumber tertentu akibat penyemakan semula yang dibuat oleh jabatan-jabatan setelah mengambilkira pungutan sebenar hasil yang diperolehi bagi tahun 2006. Hasil Tanah akan menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM 166.68 juta atau 41.57 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

Ia menunjukkan kenaikan sebanyak RM 33.78 juta jika dibandingkan anggaran belanjawan tahun 2007 iaitu sebanyak RM 132.90 juta. Hasil tanah meliputi pungutan Cukai Tanah yang berjumlah RM 28.81 juta, Premium Tanah RM 106.00 juta, Bayaran Pendaftaran RM 4.17 juta serta Bayaran Gadaian sebanyak RM 4.22 juta.

Manakala Perhutanan pula sebagai sumber hasil kedua terbesar dijangka berjumlah RM 90.97 juta atau 22.69 peratus daripada keseluruhan hasil yang bakal diperolehi. Ia juga menunjukkan penurunan sebanyak RM 11.03 juta jika dibandingkan dengan anggaran belanjawan tahun 2007 iaitu sebanyak RM 102.00 juta.

Penurunan ini adalah hasil dari semakan semula yang dibuat oleh Jabatan Perhutanan dengan mengambilkira pungutan sebenar bagi tahun 2006.

Hasil hutan meliputi Royalti Kayu Kayan akan menyumbang sebanyak RM 25.00 juta, Tribute Konsesi Hutan sebanyak RM 5.0 juta, Permit Lesen Perhutanan menyumbangkan RM 4.00 juta sementara Premium Perhutanan pula sebanyak RM 50.00 juta. Di samping itu, terdapat juga penurunan daripada pungutan Royalti Air dari RM 5.72 juta kepada RM 3.41 juta.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran kepada pemilik-pemilik tanah agar menjelaskan premium dan cukai tanah serta tunggakan perlu diteruskan menerusi kempen dan usaha bersepadu oleh semua pihak Pentadbir Tanah.

Kerajaan Negeri akan mempasti dari masa ke masa langkah-langkah sedemikian digiatkan bagi menjamin tunggakan berada di paras minimum selaras dengan usaha mempertingkatkan kecekapan dalam urusan kutipan hasil dan cukai.

Di samping itu Kerajaan juga akan mengenalpasti punca-punca hasil baru. Kerajaan juga akan membuat pemantauan secara berterusan melalui Jawatankuasa Kecil Kewangan agar usaha giat pungutan hasil dibuat secara tegas dan menyeluruh.

Tindakan proaktif seperti kempen galakan promosi kutipan hasil dan tindakan Undang-Undang Kerajaan menerusi penubuhan pasukan petugas khas serta peruntukan lain-lain kaedah kewangan dijangka mampu menjana peningkatan pungutan hasil.

Untuk itu, Badan Penguatkuasaan khususnya di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian serta Pejabat-Pejabat Tanah dan Jajahan perlu diperkemaskan lagi supaya ia benar-benar berkesan.

Beberapa punca hasil sedia ada juga telah dapat dikembangkan seperti peningkatan hasil penjualan batu kuari JKR Bukit Buloh, pungutan dibawah fee Mahkamah Syariah, pungutan fee untuk Laporan Cadangan Pemajuan di bawah Jabatan Perancang Bandar Dan Desa dan pungutan fee pendaftaran nikah melalui e-nikah yang telah mula dikuatkuasakan sudah pasti dapat menjana hasil yang lebih baik kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2008.

Dalam hal ini, Kerajaan Negeri berharap agensi-agensi negeri seperti Pihak-pihak berkuasa Tempatan, YAKIN, Yayasan Islam Kelantan dan PKINK akan terus berusaha untuk mempertingkatkan hasil atau mencari punca hasil baru. Sesungguhnya, tiada noktah dalam usaha mencari jalan ke arah melakukan apa jua pembaharuan.

Kerajaan juga telah mengambil tindakan tegas bagi mengatasi isu tunggakan permohonan tanah. Pejabat-Pejabat Tanah telah dibekalkan tenaga kerja yang secukupnya melalui penstrukturan semula organisasi, peruntukan dan peralatan sewajarnya bagi melipatgandakan usaha ke arah peningkatan kecekapan dan ketelusan dalam menyelesaikan tunggakan permohonan-permohonan milik tanah.

Dalam semangat proaktif ini jugalah semua ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat diminta untuk terus meningkatkan komitmen. Jangan risaukan Kerajaan Negeri kerana percayalah; kita sentiasa komited kepada apa jua usaha yang mendukung kebenaran, kualiti dan kecekapan.

Anggaran belanjawan mengurus 2008

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tahun 2008 berjumlah sebanyak RM 424.73 juta berbanding dengan RM 448.21 dalam tahun 2007, iaitu menurun sebanyak RM 23.48 juta atau penurunan 5.23 peratus merangkumi Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM35.98 juta dan Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM 388.75 juta.

Anggaran belanja mengurus kerajaan negeri 2008

Dari jumlah tersebut, RM 182.95 juta atau 43.08 peratus adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM 152.21 juta atau 35.84 peratus pula untuk Emolumen, RM 62.20 juta atau 14.64 peratus untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM 24.26 juta atau 5.71 peratus untuk Aset dan RM 3.10 juta atau 0.73 peratus untuk Lain-Lain Perbelanjaan.

Peningkatan yang ketara di dalam Perbelanjaan Mengurus adalah bagi menampung perbelanjaan emolumen yang tidak dapat dielakkan seperti kenaikan gaji tahunan. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga turut menerima pakai Penyelarasan Kenaikan Gaji Kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri yang bermula 1 Julai 2007.

Manakala beberapa jabatan turut melaksanakan penstrukturan semula pelbagai jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri yang melibatkan kenaikan jumlah bayaran emolumen sebanyak RM 43.00 juta setahun. Di antara jabatan dan agensi yang terlibat dalam penstrukturan semula termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat-Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Pengarah Tanah dan Galian dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan.

Justeru itu kakitangan kerajaan perlu bersedia dan turut menyumbang kepada peningkatan prestasi dan produktiviti kerja dalam usaha memenuhi kehendak rakyat selaku pelanggan utama kerajaan.

Anggaran perbelanjawan pembangunan 2008

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Peruntukan Pembangunan bagi tahun 2008 adalah berjumlah RM 116.96 juta yang dibiayai di bawah Peruntukan Negeri. Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus dan penekanan kepada usaha mempertingkatkan penyediaan prasarana dan kemudahan bagi memajukan lagi tahap sosio-ekonomi rakyat jelata berasaskan kepada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.

Di bawah Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan, sejumlah RM 33.78 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program ke arah memacukan pertumbuhan di seluruh negeri termasuk kawasan bandar dan luar bandar.

Di antara program yang akan dilaksanakan termasuklah pembinaan bangunan baru dan bangunan tambahan pejabat yang bertujuan untuk mempertingkatkan keselesaan bertugas kepada kakitangan awam negeri yang seterusnya diharap dapat mempertingkatkan produktiviti dan khidmat penyampaian.

Bagi tujuan tersebut, Kerajaan telah menyediakan peruntukan awalan sebanyak RM 5.1 juta bagi pembinaan bangunan pejabat kerajaan seperti Kompleks Islam Gua Musang dan Bachok, pembangunan muzium serta pengambilan balik tanah untuk Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Kelantan.

Program Perumahan Mampu Milik

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Bajet 2008 juga akan memberi perhatian khusus bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat. Kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakan satu program Perumahan Awam Kos Rendah atau Mampu Milik dengan dana awalan berjumlah RM15.00 juta.

Rancangan Perumahan Mampu Milik ini bertujuan untuk menyediakan perumahan kepada golongan dhaif dan miskin dengan dikenakan bayaran yang minimum dan mampu dibayar oleh setiap rakyat.

Kerajaan akan memikirkan satu mekanisma terbaik bagi mempastikan rancangan perumahan ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar tanpa membebankan mereka untuk membayar.

Kerajaan juga akan meneruskan usaha-usaha membangunkan kemudahan Rumah Awam Kos Rendah. Peruntukan sebanyak RM 4.30 juta disediakan untuk tujuan tersebut.

Di dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010) Kerajaan Negeri merancang untuk membina beberapa projek Perumahan Awam Kos Rendah dengan peruntukan sebanyak RM 39.00 juta bagi memberi peluang kepada golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang lebih selesa, selaras dengan dasar Kerajaan Negeri iaitu satu buah rumah bagi satu keluarga.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Kerajaan negeri juga akan meneruskan program usahasama dengan pemaju swasta dalam membangunkan kemudahan penempatan baru dengan mengambil kira peruntukan unit kediaman mampu milik yang perlu disediakan.

Kerajaan percaya masih ramai rakyat memerlukan kemudahan perumahan sedemikian rupa. Kerajaan juga menaruh harapan supaya Kerajaan Persekutuan turut membantu Kerajaan Negeri dalam penyediaan Perumahan Awam Kos Rendah sebagaimana yang disediakan kepada negeri-negeri lain.

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, Kerajaan akan meneruskan program Rumah Dhuafat yang jelas memberi manfaat yang besar khususnya dalam membantu golongan daif dan miskin untuk memiliki rumah sendiri. Bagi tujuan tersebut, satu peruntukan berjumlah RM 1.60 juta akan disediakan di bawah Pejabat Pembangunan Negeri dimana peruntukan tersebut akan diagihkan kepada semua jajahan bagi mempastikan setiap lapisan rakyat miskin dapat menikmati bantuan yang disediakan.

Penyediaan Kemudahan Asas dan Infrastruktur

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Selaras dengan tema ‘Bajet Rakyat’, Kerajaan akan terus memberi perhatian dalam penyediaan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat.

Kerajaan sedar bahawa pembangunan infrastruktur amat penting dan menjadi asas utama kepada pembangunan fizikal dan pembangunan sosial yang lain. Bagi tujuan tersebut, keselesaan, peningkatan dalam taraf dan kualiti kemudahan infrastruktur akan diberi keutamaan oleh Kerajaan.

Kerajaan juga akan menerap dan menyemaikan Budaya Menyelenggara dalam semua aspek pengurusan dan pentadbiran aset kerajaan. Budaya ini perlu disemai dalam setiap agensi Kerajaan. Jika kita tahu nilai kasih terhadap barang-barang peribadi yang menjadi milik kita maka tidak ada sebab kita tidak boleh kembangkan nilai kasih sayang yang sama untuk menyelenggarakan harta awam.

Pada tahun 2008, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 14.00 juta di bawah program Jabatan Kerja Raya untuk pembangunan jalan-jalan baru dan juga penyelenggaraan jalan-jalan dan jambatan negeri.

Di antara program yang akan dilaksanakan termasuk Jalan Telipot – Pasir Hor, Kota Bharu ; Jalan Simpang Panchor ke Pengkalan Datu, Kota Bharu; Jalan Binjai – Kedai Lalat, Kota Bharu; Jalan dan Jambatan ke Taman Tengku Anis, Kota Bharu; Jalan Kelewek/Bechah Laut/Terasil, Tanah Merah; Jambatan Sungai Puyu, Pasir Putih; Jambatan dan Jalan Sungai Sat, Machang; Jalan dan Jambatan Pengkalan China, Bachok dan lain-lain.

Pembangunan Sektor Pertanian dan Pengurusan Tanah Terbiar

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Pembangunan sektor pertanian masih merupakan satu daripada strategi utama bajet negeri Kelantan tahun 2008. Ini kerana sektor pertanian memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Kelantan.

Sektor ini merupakan sektor yang diceburi oleh sebahagian besar rakyat terutama golongan miskin. Sektor ini akan terus diperkukuhkan bagi mempastikan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi negeri dicapai selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara Ketiga.

Sebagai sektor utama ekonomi negeri ini, tumpuan akan terus diberi bagi meningkatkan lagi daya saing sektor ini. Kerajaan Negeri akan meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pertanian, mempergiatkan usaha dalam pengeluaran bahan makanan berkualiti dan produk halal.

Permintaan makanan domestik yang terus meningkat dan potensi pasaran eksport yang luas merupakan asas bagi melonjakkan prestasi sektor pertanian. Ini selaras pula dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan sektor pertanian sebagai agen ketiga penjana pertumbuhan ekonomi negeri.

Di samping itu juga, dengan adanya tekanan yang konsisten dalam sektor pertanian, ia akan dapat merealisasikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang tahun 2015.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri telah menyusun pakej program-program seperti; Mempertingkatkan Pembangunan Pusat-Pusat Pertanian, Pembangunan Tanah Terbiar, Pembangunan Industri Padi, Pembangunan Industri Pelbagai Komoditi, Pembangunan Industri Sayur-sayuran dan Buah-buahan, Pembangunan Industri Hiliran serta Pembangunan Usahawan.

Menerusi pakej program tersebut, Kerajaan Negeri berharap dapat mencapai objektif bagi melahirkan golongan petani yang berdikari di samping meningkatkan daya pengeluaran bahan-bahan makanan serta mencapai tahap pengeluaran produk pertanian yang berkualiti dan selamat.

Seperti di tahun 2007, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada program pembangunan tanah terbiar dalam bajet 2008. Pada tahun 2007, seluas 213 hektar tanah terbiar dipulihkan dengan tanaman seperti padi, sayur-sayuran dan dusun buah-buahan.

Sementara itu dibawah program peningkatan bahan-bahan makanan negara, tumpuan masih diberikan kepada penyediaan kemudahan-kemudahan asas pertanian, pembekalan input, kemudahan pengairan dan bengkel pungutan hasil keluaran serta kemudahan bagi aktiviti memproses bahan-bahan pertanian.

Kerajaan Negeri mensasarkan program ini diperluaskan lagi kepada petani kelompok, usahawan individu, siswazah tani, belia tani, kumpulan pengembangan wanita, usahawan pemproses makanan, golongan swasta dan juga petani usahawan. Bagi mencapai matlamat ini, program pembangunan sumber manusia juga perlu berjalan seiringan, dimana petani-petani dilatih dan dibimbing khususnya dalam aspek teknikal pengeluaran.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Kerajaan Negeri sedar perlunya usaha gigih serta perancangan yang berkesan bagi mempastikan program pembangunan tanah terbiar dapat memacu sektor tersebut ke arah pembangunan menyeluruh pertanian luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negeri amnya.

Perkhidmatan pengembangan yang berkualiti serta proses pemindahan teknologi akan menjurus kepada pulangan hasil pengeluaran yang tinggi melalui peningkatan daya pengeluaran yang tinggi, berkualiti dan selamat digunakan.

Pada tahun 2007 misalnya usaha-usaha dibawah 688 unit Projek Kelompok dijangka mengeluarkan hasil kira-kira 119,087 metrik tan produk pertanian bernilai RM 103.20 juta dengan bilangan penglibatan peserta seramai 21,003 orang.

Pada tahun yang sama seramai 233 usahawan IKS berjaya mengeluarkan pelbagai produk pertanian bernilai RM 7.30 juta. Ini semua adalah kejayaan. Jangan pula kemenyan yang hanya berbau sedangkan gaharu yang dibakar.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Pada tahun 2008, program pembangunan IKS akan menekankan kepada menaiktaraf/projek baru, pembangunan kraf dan pembangunan usahawan IKS. Program ini bertujuan untuk menambah bilangan usahawan di negeri ini serta mengoptimumkan penggunaan hasil pertanian untuk diproses.

Pemprosesan hasil pertanian ini bukan sekadar meingkatkan nilai tambah kepada pendapatan usahawan malahan dapat mengurangkan masalah lambakan hasil pertanian terutama kepada hasil-hasil yang bermusim.

Justeru itu, dalam bajet 2008 sejumlah RM 2.20 juta diperuntukkan di bawah Jabatan Pertanian Negeri bagi mengurus pelbagai program ke arah memajukan sektor pertanian di negeri ini.

Di samping itu peruntukan prasarana berkaitan pertanian yang turut diperuntukkan dibawah lain-lain agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri dan Pejabat Pembangunan Negeri.

Antara program yang turut diberikan peruntukan ialah Jaringan Pemasaran Produk Desa, Projek Biotek, Bumi Hijau dan Program Khas Pertanian Siswazah dengan dana sebanyak RM 1.40 juta.

Menaiktaraf Hidup Nelayan

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Sektor perikanan di Kelantan berperanan besar sebagai salah satu sektor penyumbang bagi bekalan protin kepada penduduknya serta menyedia peluang kerja kepada 5,000 penduduknya. Usaha-usaha membela golongan nelayan akan diteruskan dengan cara meningkatkan taraf hidup mereka.

Sejumlah RM 504 ribu disediakan bagi tujuan melaksanakan program-program seperti Penyediaan Infrastruktur Nelayan, Galakan Pemindahan Teknologi Peralatan Perikanan, Projek Asuhan Benih Ikan Air Tawar, Galakan Teknologi Pengendalian Ikan dan lain-lain.

Beberapa program yang diperkenalkan pada tahun ini seperti Pemulihan Semua Sangkar Terbiar di Taman Kekal Makanan Negara serta Pembangunan Tukun Tiruan akan terus dilaksanakan pada tahun 2008.

Kerajaan juga akan menggalakkan sektor ternakan ikan/akuakultur untuk menampung bekalan ikan bagi mengimbangi permintaan sumber perikanan yang semakin meningkat. Sehingga kini, seluas 312 hektar tanah telah dibangunkan untuk aktiviti akuakultur iaitu kira-kira 26 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan dengan penglibatan seramai 2,000 orang penternak.

Oleh itu Kerajaan akan memberi galakan berterusan kepada para pelabur untuk menceburi bidang akuakultur terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti di bawah Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan Negara selain menggalakkan penglibatan penduduk tempatan menceburi aktiviti tersebut.

Kerajaan juga akan memberi perhatian bagi mempastikan pembangunan industri perikanan disokong dengan aktiviti nilai tambah bagi menjamin kelestarian industri berkenaan. Justeru itu, industri pemprosesan berasaskan produk perikanan seperti keropok, budu, bilis, ikan kering, bebola ikan dan sebagainya yang kini memberi peluang kepada kira-kira 1,000 orang penduduk tempatan dan berpotensi untuk dimajukan dan dikembangkan pada masa hadapan.

Pembangunan Industri Perternakan

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Pembangunan industri perternakan juga akan diberi keutamaan oleh Kerajaan dalam bajet 2008 bagi memenuhi keperluan sumber makanan. Satu peruntukan berjumlah RM 1.20 juta telah disediakan di bawah Jabatan Perkhidmatan Haiwan untuk melaksanakan rancangan operasi induk lembu; rancangan pengembangan lembu pedaging, rancangan pembakaan dan lain-lain.

Di samping itu, program lembu fidlot akan terus dilaksanakan setelah kedua-dua program perintis di Jajahan Machang dan Gua Musang mencapai kajayaan yang memuaskan. Kerajaan juga telah mengadakan program baru iaitu Jihad Ternak dengan peruntukan awalan berjumlah RM 300 ribu yang akan memberi tumpuan kepada penternakan Kambing Baka Jamnapari.

Program ini bertujuan untuk menggalakan rakyat khususnya golongan belia menceburi bidang sub sektor perternakan. Sekiranya program ini mencapai sasaran yang ditetapkan, Kerajaan bercadang untuk memperluaskan program ini meliputi jenis ternakan lain termasuk lembu dan kerbau.

Program Memartabatkan Agama Islam

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Bersesuaian dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, Kerajaan Negeri akan mempastikan langkah-langkah penambahbaikan pentadbiran Agama Islam diberi perhatian yang serius. Oleh itu pembinaan Kompleks Islam baru di Jajahan-jajahan akan diteruskan.

Sebanyak RM 1.0 juta disediakan dalam Bajet 2008 bagi pembinaan Kompleks-Kompleks Islam bagi Jajahan-Jajahan Gua Musang dan Machang. Manakala menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan pula, peruntukan RM 1.1 juta di salurkan kepada bantuan masjid dan surau seluruh negeri bagi tahun 2008.

Begitu juga di bawah Pejabat Pembangunan Negeri di mana RM 5.50 juta lagi disediakan bagi projek pembinaan dan pembaikian masjid-masjid seluruh negeri termasuk pembinaan Masjid Keputeraan. Kerajaan juga bersyukur kerana pembinaan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang telah mencapai 70 peratus siap dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada pertengahan tahun 2008.

Selaras dengan kelulusan pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri yang baru tidak lama lagi, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 1.70 juta untuk tujuan pengambilan balik tanah bagi projek tersebut sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Di samping itu, penambahbaikan bangunan-bangunan pejabat dan dewan Mahkamah-mahkamah perbicaraan akan terus diberi perhatian menerusi peruntukan sewajarnya. Sehingga kini Mahkamah Syariah Rendah Tumpat telah pun siap sepenuhnya manakala Mahkamah Syariah Rendah Gua Musang masih dalam proses pembinaan.

Sektor perkhidmatan awam dan pentadbiran berasaskan konsep Islam

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan, sokongan dan komitmen kakitangan sektor perkhidmatan awam negeri dalam mencapai matlamat pembangunan negeri. Kebajikan dan keselesaan mereka akan terus diberi keutamaan dan perhatian.

Kerajaan yakin kakitangan awam akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dengan cemerlang dan penuh bertanggungjawab.

Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri telah bersetuju menerimapakai penyelarasan kenaikan gaji kakitangan sektor awam negeri pada 1 Julai 2007 dan penstrukturan semula organisasi pentadbiran negeri dan jajahan yang melibatkan penambahan peruntukan sebanyak RM 43.00 juta setahun.

Di samping itu, kerajaan akan sentiasa menyokong segala usaha-usaha yang dilaksanakan demi peningkatan mutu perkhidmatan penyampaian (delivery system) di semua jabatan dan agensi kerajaan.

Walau apa pun, Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat adalah menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam pengagihan peruntukan pembangunan, di mana RM 116.96 juta daripada keseluruhan bajet adalah meliputi pelbagai program dan aktiviti jabatan-jabatan kerajaan. Ia dirancang untuk merealisasikan pembangunan yang menyeluruh demi kemakmuran hidup rakyat.

Pendidikan dan kerohanian

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program-program yang bertujuan membudayakan Al-Quran sebagai usaha untuk mengimbangi pembangunan fizikal dan pembangunan kerohaniah. Ia harus berkembang seluasnya merangkumi institusi masjid, surau, pejabat kerajaan, sekolah dan media dalam negeri.

Jika tidak, nilai-nilai iman berteraskan taqwa dan pelbagai budaya hidup timur terpuji boleh terhakis akibat pelbagai pengaruh fikrah barat yang tersebar luas di bawah gerakan globalisasi dunia tanpa sempadan. Lebih malang lagilah jika usaha penghakisan ini turut diseludup masuk oleh media massa tempatan dengan restu pemilik kuasa yang kadang-kadang mungkin tahu tetapi buat-buat tidak tahu.

Dalam kesedaran kasihkan belia dan cakna rakyat sepenuhnya, mari kita sama-sama rakamkan tekad yang sekuat-kuat untuk mempertahankan Islam tanpa mengira perbezaan keturunan dan faham parti. Dalam konteks inilah pentingnya ayat yang gemar dibaca oleh kita semua iaitu,

“Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Sebahagian Ayat 103: Surah Ali Imran).

Kesedaran agar berpegang teguh kepada simpulan tali syariat Allah inilah semangat perpaduan dan penyatuan unggul yang sebenar-benar. Tiada penyatuan tanpa syariat.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Untuk itu, Kerajaan Negeri akan mempastikan medium pendidikan agama akan terus diberikan tempat yang istimewa, bahkan dijadikan agenda utama kerajaan melalui program-program pengemaskinian dan pengukuhan kurikulum, peningkatan pengetahuan dan kemahiran Agama Islam serta peningkatan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

Kerajaan yakin, program-program pembangunan kerohanian yang terancang dan strategik mampu mengimbangi dan menangani pengaruh gejala maksiat dikalangan remaja pelbagai peringkat di negeri ini. Program-program pengukuhan akidah akan tetap diteruskan bagi membasmi mana-mana faham, ajaran dan amalan yang syirik serta menolak Islam dari dijadikan satu sistem hidup yang lengkap.

Di bawah Yayasan Islam Kelantan pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 45.0 juta bagi melaksanakan program-program pendidikan disamping RM 2.5 juta lagi bagi projek pembinaan baru, menaiktaraf dan menyelenggara bangunan sekolah-sekolah YIK dalam semangat budaya penyenggaraan.

Kerajaan juga akan terus memperkemaskan Maahad Tahfiz dan Maahad Tahfiz aliran Sains yang mengamalkan sistem pendidikan bersepadu antara mata pelajaran agama dan subjek-subjek akademik.

Di samping itu pada tahun 2008, Kerajaan Negeri terus memperuntukkan RM 1.96 juta kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Ini termasuk juga penerusan program-program Ihya Ramadhan sebanyak RM 200 ribu, Tahfiz Al-Quran RM 200, perayaan Agama Islam dan kebesaran Islam RM 100 ribu, Ujian Tilawah Al-Quran ditambah kepada RM 160 ribu, Pembangunan Islam Jajahan RM 100 ribu, Hari Hudud RM 50 ribu, Kecemerlangan Solat RM 1.00 juta, Skuad Amru RM100 ribu, dan Nasyid RM 100 ribu.

Di samping itu, Program Kembara Bermotosikal di peruntukkan sebanyak RM 50 ribu dan Majlis Bersama Ulama’/Guru Pondok/Ketua Madrasah RM 400 ribu.

Kursus-kursus Dakwah Islamiah, Seminar dan Kursus Pra-Perkahwinan akan diteruskan sebagaimana tahun lepas dengan peruntukan RM 770 ribu. Manakala program-program menjurus kepada Pembangunan Insan pula akan mendapat peruntukkan sebanyak RM 1.80 juta yang diperuntukkan di bawah Pejabat Pembangunan Negeri.

Semua program ini adalah langkah praktikal untuk memasang brek ke setiap roda perjalanan rakyat sekalian dalam kembara hidup bersifat sementara ini. Sesungguhnya, nafsu itu buas. Setiap binatang buas perlukan tali untuk mengekangnya.

Allah yang bersifat Maha Mengetahui telah membekalkan kita dengan Al-Quran sebagai manual hidup. Allah yang “mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan” (Lihat Ayat 8 Surah Asy-Sham), maka Allah jualah yang lebih mengetahui tali brek yang mana satukah yang paling mujarab untuk merawati penyakit fujur yang bersarang di setiap qalbu hamba-hambaNya.

Sebuah kerajaan yang amanah pasti tiada pilihan melainkan terus menggunakan Al-Quran sebagai asas yang mendasari semangat belanjawannya. Inilah sebahagian yang telah diperuntukkan dalam bajet-bajet tahunan dari masa ke semasa sebelum ini. Inilah juga apa yang sedang kita sama-sama lakukan pada hari ini.

Masyarakat penyayang

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Apa erti kemakmuran yang melimpah jika anugerah dari Allah S.W.T. itu cuma dibiarkan berlingkar di kalangan dua tiga kerat hartawan terpilih. Dalam hal ini, Allah S.W.T. pernah memperingati kita

“Supaya harta itu jangan hanya beredar di kalangan orang-orang kaya saja di antara kamu.” (Surah Al-Hasyr Ayat 7).

Untuk itu, bajet rakyat kita pada pusingan ini akan terus merendahkan bahunya. Demi memupuk pembentukan masyarakat penyayang, Kerajaan Negeri tidak akan mengabaikan golongan kurang bernasib baik.

Kita berazam untuk mempastikan setiap rakyat dapat bersama mengecap hasil pembangunan dan menikmati hasil kemakmuran negeri. Oleh itu program-program Pembelaan Rakyat Miskin diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM 1.50 juta, Projek Penempatan Semula Penduduk dengan peruntukkan RM 500 ribu, Projek Bantuan Bekalan Air dan Elektrik diperuntukkan RM 1.00 juta meliputi termasuk Bekalan Air Luar Bandar dan juga Subsidi Baja Padi diperuntukkan RM 3.00 juta.

Bantuan kesihatan kepada rakyat miskin yang menghidapi penyakit kronik pula akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM 300 ribu untuk menanggung kos perubatan dan saraan kesihatan akibat daripada kemiskinan.

Di samping itu, bantuan juga diberi kepada Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu mereka dalam pelbagai aktiviti memajukan diri melalui pelbagai bidang ekonomi dan kerjaya dengan peruntukkan RM 800 ribu.

Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan RM 450 ribu di bawah Pejabat Pembangunan Negeri untuk melaksanakan tiga program ke arah peningkatan taraf kehidupan golongan miskin melalui projek pertanian seperti tanaman vanilla/jarak, tanaman pisang/jagung dan galakkan industri kelapa dara (Virgin Coconut Oil).

Ia mungkin juga boleh dijadikan tanaman alternatif kepada tanaman tembakau dalam tempoh jangka panjang. Ini adalah antara paradigma baru yang cuba kita suntik dalam sektor pertanian di Negeri ini termasuk juga ke kawasan-kawasan KADA dan Kesedar.

Ia sekurang-kurangnya boleh menjadi penampung kepada pelbagai kelompangan dan kekurangan pencapaian yang masih ketara khususnya di kawasan-kawasan pembangunan wilayah. Adalah diharapkan ketiga-tiga program permulaan ini dapat dilaksanakan dengan bantuan teknikal daripada jabatan-jabatan terlibat.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Ke arah melahirkan masyarakat remaja dan belia yang sihat dan beriman, Kerajaan akan meneruskan program pembangunan remaja yang bersesuaian dengan jiwa dan rohani mereka berlandaskan penghayatan nilai-nilai adab Islam yang unggul berteraskan syariat.

Bagi tujuan program sedemikian, kerajaan negeri memperuntukkan di bawah Aktiviti Belia peruntukan berjumlah RM 2.00 juta, manakala Pembangunan Sukan dengan peruntukan RM 1.7 juta dan bantuan kepada Badan Kesenian dan Kebudayaan diperuntukkan sebanyak RM 1.00 juta.

Bantuan kepada Badan-Badan Pertubuhan Islam sebanyak RM 100 ribu, sumbangan untuk Kebajikan dan Pembangunan Wanita sebanyak RM 2.00 juta, sumbangan untuk Kebajikan Orang Bukan Islam dan Orang Asli ditambah kepada RM 1.00 juta dan Latihan Belia dan Wanita sebanyak RM 500 ribu. Kerajaan juga akan meneruskan tradisi bagi membela golongan ARMALAH (ibu tanpa suami) dengan menyediakan peruntukan RM 2.00 juta bagi tahun 2008.

Di samping itu, bantuan kepada Anak Yatim juga akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM 2.00 juta. Peruntukan ini disediakan sesuai dengan hasrat memupuk masyarakat penyayang.

Kerajaan tidak teragak-agak berhasrat untuk mengekalkan atau mungkin menambahkan lagi peruntukan mengikut merit, suasana dan keperluan. Biarlah bumi Kelantan dibanjiri dengan budi yang melata.

Di sana padi di sini padi,
Barulah nama sawah dan bendang,
Di sana budi di sini budi,
Baru sempurna dinamakan orang.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Kerajaan Negeri juga akan terus memperuntukkan sejumlah peruntukan kepada Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi faedah ahli-ahli dan masyarakat. Ini termasuk kepada PERKIM, PUSPANITA, MAKSAK, Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Bekas Perajurit, Persatuan Pesara, BASUKA, Persatuan Pegawai Tadbir Negeri dan Persatuan Pegawai Tadbir Ugama.

Melalui dasar-dasar penuh simpati dan merendah ini, bertambah reduplah hendaknya ilmu, iman, taqwa dan budi. Insya-Allah, semakin bermaruahlah kehidupan insan keseluruhannya di Negeri Serambi Mekah yang sama-sama kita kasihi selama ini. Bagaimanapun,

Banyak padi perkara padi,
Padi yang mana ditanam orang,
Banyak budi perkara budi,
Budi yang mana dikenang orang?

Pembangunan infrastruktur

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Kerajaan sedar bahawa pembangunan infrastruktur amat penting dan menjadi asas kepada pembangunan fizikal dan pembangunan sosial yang lain. Bagi tujuan tersebut, keselesaan, peningkatan dalam taraf dan kualiti kemudahan infrastruktur akan diberi perhatian dan keutamaan oleh Kerajaan.

Disamping itu, Budaya Penyelenggaraan perlu diterapkan dalam semua aspek pengurusan dan pentadbiran dan pengelolaan aset kerajaan. Justeru pada tahun 2008 Kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM 14.0 juta di bawah program Jabatan Kerja Raya pembangunan jalan-jalan baru dan juga penyelenggaraan jalan-jalan dan jambatan negeri.

Di samping itu Kerajaan juga tidak lupa untuk menaiktaraf jalan-jalan kampung dan jalan-jalan pertanian melibatkan peruntukan berjumlah RM 10.0 juta , RM 500 ribu untuk jalan-jalan ladang, RM 4.0 juta untuk Jalan-jalan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan RM 500 ribu untuk jalan industri.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan untuk pembinaan dan pembaikian jambatan di sebanyak RM 4.0 juta diperuntukan dibawah Pejabat Pembangunan Negeri dan RM 400 ribu lagi di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri.

Di samping pembinaan dan penyelenggaraan jalan dan jambatan, peruntukan juga telah disediakan bagi penyelenggaraan longkang dan parit dimana RM 1.0 juta diperuntukkan di bawah Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan.

Kita mengalu-alukan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk mengeluar baki pinjaman sebanyak RM 260 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan bagi projek bekalan air sebanyak RM 99.98 juta di tahun 2008.

Insya-Allah, beberapa lagi projek menaiktaraf loji dan pengurusan bekalan air akan dapat disediakan. Kerjasama yang sebeginilah sebenarnya yang kita selalu ingin lihat kerana ia membuktikan kerjasama dan boleh mengurangkan ketegangan yang sememangnya mampu dielakkan.

Bagi program bekalan air di kawasan desa yang tidak diliputi oleh bekalan air di bawah Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) pula, ia akan tetap diberi pembelaan Kerajaan negeri melalui peruntukan sebanyak RM 1.00 juta untuk projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan Elektrik luar bandar.

Pada kesempatan ini, Kerajaan Negeri Kelantan ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Air Kelantan Sdn Bhd di atas penganugerahan sijil ISO 9001:2000. Ini adalah suatu kejayaan yang cukup membanggakan Kerajaan Negeri dan wajar dicontohi oleh lain-lain Jabatan.

Seiring dengan perkembangan industri pembekalan air di Malaysia yang kini dalam migrasi ke regim baru dengan pengenalan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (AKTA 655) DAN Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (AKTA 654) atau SPAN, di mana kedua-dua akta itu memberi keutamaan kepada AKSB untuk menguruskan pengurusan pembentungan di Negeri Kelantan, AKSB telah membuat perancangan rapi dengan mengambil langkah proaktif ke hadapan iaitu menstrukturkan semula syarikat AKSB melalui penubuhan sebuah ‘syarikat holdings’ serta beberapa anak syarikat di bawahnya yang dijangka siap pada akhir tahun ini. Ini satu lagi ‘sikap mara kehadapan’ yang wajar dikagumi oleh semua.

Pelancongan

Sejak mutakhir ini, Sektor Pelancongan ternyata semakin menjana pertumbuhan ekonomi negeri serta memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada rakyat tempatan. Di dalam tahun 2008, Negeri Kelantan dianggarkan bakal menerima pengunjung sejumlah 5.7 juta orang dengan anggaran mampu menyumbang sebanyak RM 1.91 bilion kepada ekonomi negeri.

Di samping mengadakan beberapa program tahunan seperti Karnival Kebudayaan, Karnival Membeli Belah serta Program-Program Penghayatan Ramadhan, Kerajaan juga bersetuju menjadikan tahun 2008 sebagai ‘Tahun Melawat Kelantan’.

Melalui TMK 2008, Kerajaan yakin Kelantan akan menerima kedatangan lebih ramai pelancong baik dari dalam dalam mahu pun luar negara khususnya dengan adanya program-program secara tersusun yang akan diaturkan oleh Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan.

Kerajaan juga yakin program-program penghayatan Islam mampu menjadi produk pelancongan yang perlu diketengahkan di samping mengaktifkan agensi-agensi pelancongan dengan pendekatan baru pakej-pakej pelancongan pendidikan dalam bentuk Program Pelancongan Pelajar, mempelbagaikan pakej-pakej penginapan di Homestay dengan memperkenalkan tarikan pelancongan berasaskan kebudayaan, eko-pelancongan dan agro-pelancongan.

Justeru kempen, promosi, pemasaran, pengiklanan dan program pelancongan perlu diperhebatkan lagi. Destinasi dan produk pelancongan sama ada dibangunkan oleh kerajaan atau swasta perlu dilengkapi dengan infrastruktur yang sewajarnya dan budaya penyenggaraan produk dan kemudahan pelancongan wajar dipupuk sebaiknya.

Bagi tahun 2008 kerajaan negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM 3.50 juta bagi pembangunan infrastruktur, promosi pelancongan dan galakkan kesenian dan kebudayaan.

Pembangunan usahawan

Kerajaan Negeri juga akan memberi penekanan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan program pembangunan usahawan khususnya usahawan kecil yang baru memulakan aktiviti perniagaan.

Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada enam aspek utama iaitu pembudayaan, latihan keusahawanan, peluang perniagaan, premis perniagaan, pembiayaan dan pemasaran. Pada tahun 2008, sebanyak RM 500 ribu disediakan di bawah program Galakan Perdagangan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan.

Manakala RM 500 ribu lagi disediakan untuk Infrastruktur Usahawan dan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di bawah Jabatan Pertanian serta peruntukan RM 1.2 juta disediakan bagi Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan bagi tahun 2008. Ini termasuk satu dana khas berjumlah RM500 ribu diperuntukkan bagi pembinaan gerai-gerai kepada peniaga-peniaga kecil.

Penutup

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT menjadikan ‘Bajet Rakyat’ yang kita lancarkan ini akan dilimpahi dengan seribu petunjuk, rezeki dan keberkatan.

Hari ini hari Ahad,
Hari esok hari Isnin,
Berkat Negeri rakyat sihat,
Semoga Allah memberi izin.

Ya Allah ya Tuhan kami. Kami mohon restu menyerahkan ‘Bajet Rakyat’ seikhlas doa ini dengan lafaz ‘Bismillaahi wa tawakkal ‘alalLaah’.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Bagai difikir. Moga ditaqdir.

Saya Pohon Mencadangkan.

Wabillahit Taufiq Wal Hidayah. Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Pejabat Menteri Besar Kelantan,
Kota Darulnaim,Kota Bharu.

Written by irwanmuhammadzain

November 27, 2007 at 2:37 am

Posted in politik

Satu ketika sebelum merdeka…

with 2 comments

protesumno3.jpg

Apakah ini bukannya demonstrasi jalanan? Apakah ini bukan budaya rakyat Malaysia?

Written by irwanmuhammadzain

November 12, 2007 at 6:44 am

Posted in politik

Minda Nik Aziz

leave a comment »

Tunjuk perasaan adalah satu tajuk yang sangat berkaitan dengan fitrah manusia. Kanak-kanak boleh merajuk. Isteri kadang-kadang boleh menangis. Anak lelaki atau perempuan kita juga biasa menunjukkan pernyataan sikap mereka sama ada suka atau duka melalui perlakuan dan tutur kata.

Semua ini adalah manifestasi perasaan. Apa yang ditunjukkan dinamakan tunjuk perasaan.

Di dalam Islam, kita menunjukkan perasaan kecintaan dan ketundukan kita terhadap Allah S.W.T. melalui sembahyang lima waktu beramai-ramai (berjemaah) yang lengkap dengan aksi duduk, sujud dan tunduk bangunnya.

Kita juga ada solat Jumaat sekali seminggu dan solat sunat dua Hari Raya untuk tiap-tiap tahun.

Kemuncak demonstrasi dapat kita saksikan melalui pertemuan sekali seumur hidup (sekurang-kurangnya) untuk berhimpun di Padang Arafah, melontar iblis di ketiga-tiga Jamrah, Saei di antara Safar dan Marwah dan Tawaf untuk mengEsakan Allah S.W.T. di Kaabah, satu-satunya Kiblat seluruh umat Islam.

Ini semua adalah manifestasi demonstrasi sebenar yang telah dituntut oleh Allah S.W.T. seawal-awal wujudnya Adam Alaihissalam lagi.

Sebagaimana kita dibolehkan berdemontrasi untuk perkara-perkara maaruf, begitulah juga kita dituntut untuk menunjukkan perasaan protes dan penentangan kita terhadap apa juga kezaliman, jika berlaku kezaliman.(Amar maaruf nahi mungkar).

Boleh berdemonstrasi kerana Malaysia negara demokrasi

Dalam konteks demontrasi di Malaysia, bagi yang sudah-sudah atau yang akan diatur, saya melihat ianya tidak bercanggah dengan perintah kebebasan bersuara dalam Islam.

Perhimpunan aman sekadar menyatakan sikap melalui corong-corong pembesar suara semata-mata untuk menjelaskan asas dan hujah adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan apa jua acuan demokrasi atau Islam.

Kita bukan kerajaan junta. Myanmar dilanda perarakan aman sami-sami Buddha lebih 100,000 orang di Dataran Yangon dua minggu yang lalu adalah manifestasi perasaan rakyat yang telah lama terpendam.

Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti.

Bagi saya, saya tetap merestui sebarang perhimpunan aman untuk sekadar menyatakan sikap dan membangkitkan semangat kesedaran untuk menolak kezaliman.

Jika saya tiada masalah kesihatan, saya akan turut bersama dalam mana-mana kesempatan untuk menyatakan protes terhadap apa yang tidak betul dengan syariat Allah S.W.T.

Sungguhpun pihak berkuasa ada mempunyai hak untuk menghalang dengan tidak mengeluarkan permit tetapi biarlah seboleh-bolehnya semua pihak mendahului kaedah perundingan.

Cubalah mencari formula yang boleh memuaskan hati kedua-dua pihak.

Suasana “win-win” ini perlu ada dalam segenap ketika.

Inilah juga apa yang selalu disebut-sebut sebagai semangat permuafakatan.

Jika tak boleh demonstrasi secara berdiri, maka duduklah.

Jika tak boleh berhimpun di Masjid Jamek, maka tak bolehkah bersolat hajat di Masjid India atau berpidato secara tenang di Dataran Merdeka? Jangan sampai tak boleh langsung.

Di Kelantan, suasana di sini sangat tenang. Alhamdulillah. Pihak polis di sini cukup pandai menyesuaikan diri antara undang-undang dan peraturan dan kehendak agama yang turut difahami oleh rakyat.

Setiap ceramah dan perhimpunan awam di sini tidak diganggu kerana masing-masing pihak tahu sempadan dan hak masing-masing.

Kelemahan kerajaan punca protes rakyat

Kadang-kadang isu harga barang yang tidak terkawal, harga minyak yang diuar-uarkan akan naik, tuduhan skandal dalam kes pita rakaman video V.K. Lingam, teguran KDYMM Sultan Perak ke atas sistem kehakiman yang bercelaru, tuduhan rasuah yang melibatkan RM puluhan juta wang rakyat.

Juga pendedahan Ketua Audit Negara mengenai pelbagai salah laku dan pengkhianatan terhadap wang pembayar cukai dan kekhuatiran rakyat yang menyeluruh terhadap SPR dalam Pilihan Raya Umum Kali Ke 12 yang akan datang – ini semua adalah haba.

Ia adalah sesuatu yang hangat. Larva dan magma daripada sebarang gunung berapi boleh meletus jika ditutup mulutnya dengan tudung periuk dan gunung berapi boleh diam buat sementara, tetapi dia akan meletus juga satu hari nanti.

Oleh kerana rakyat merasakan mereka mempunyai fakta dan fakta ini pula tidak dilayan walaupun telah disampaikan melalui saluran demokrasi, maka mereka wajar diberikan laluan untuk berhimpun secara aman.

Selagi mereka memohon dan berjaya untuk menyampaikan protes dengan hujah secara tertib secara aman dengan premis dan masa yang telah diberikan, maka tugas pihak berkuasa ialah untuk memantau.

Bukankah akrabnya kesetiakawan polis dan rakyat itu ada terlambang dalam lencana polis yang berjabat tangan? Dan, hak-hak ini turut diakui oleh pihak SUHAKAM.

Ia adalah hak yang tersedia di dalam Perlembagaan dan boleh dinikmati oleh setiap warganegara seperti yang disebut di dalam Perkara 10 Ceraian 1 A & B iaitu (Every citizen has the right to freedom off speech and expression. All citizens has the right to assemble peaceably and without arms).

Demonstrasi sebenarnya sama juga dengan pernyataan perasaan.

Dalam prinsip dakwah, kita ada 3 saluran iaitu Bilhikmah yakni segala hikmah, nasihat dan tegur menegur atau membangkang secara beradab dan ketiganya bermujadalah yakni bersemuka untuk menyatakan pandangan.

Ketiga-tiga saluran ini dibenarkan oleh Islam. Kenapa pula tiba-tiba dengar khabar, ia akan ditutup semuanya?

Polis patut ikut kata PM, lupakan perkara lama

Dalam pelancaran ECER pada 29 Oktober lalu, kita telah mendengar seruan Perdana Menteri supaya lupakan perkara-perkara yang telah lama.

Beliau mengajak kita untuk memandang ke hadapan dan lupakan perkara-perkara yang lepas.

Cerita tidak memberikan permit ini adalah cerita lama. Oleh itu, kita hendaklah meninggalkannya.

Kita mulakan mulai sekarang, kita perlu membuka agenda baru dengan memulihkan demokrasi dan kembalikan hak rakyat seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10 dalam Perlembagaan yang saya sebutkan.

Ini hak setiap rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau mahu ambil petikan hak orang Islam seperti yang dijaminkan oleh Allah S.W.T., ia ada disebutkan dalam al-Quran Surah Yaasiin ayat 19 (sebahagian ayat) yang bermaksud, “Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas.”

Adakah sekadar mahu memberikan peringatan kepada masyarakat pun tidak boleh, sedangkan Islam berkata boleh.

Ringkasnya, beri layanan yang adil kepada semua rakyat.

Jika pemuda Umno pun boleh diberikan permit untuk berdemonstrasi semasa Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice membuat lawatan ke Malaysia, maka apa salahnya membenarkan pemuda PAS membuat demonstrasi di atas sesuatu isu rakyat yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Pokoknya aman tanpa provokasi.

Jika inilah syaratnya dan ini telah dipatuhi oleh parti pembangkang maka saya mahu bertanyalah “salahnya dimana?”

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

Written by irwanmuhammadzain

November 12, 2007 at 5:56 am

Posted in politik

Katakan TAK NAK pada BN

leave a comment »

Ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003, Imam Besar ajaran Islam Hadhari Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) telah berjanji kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa dia akan menjalankan pentadbiran yang adil dan telus serta akan membenteras rasuah hingga ke akar umbi.

Tetapi setelah empat tahun masa berlalu, janji Pak Lah hanya tinggal janji. Pentadbiran kerajaan BN dibawah Khairy Jamaluddin dan Pak Lah tetap sama atau lebih teruk dari zaman pemerintahan regim Mahathir Muhamad.

Bukti jelas apabila Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 10 November lalu telah dianggap sebagai satu perhimpunan haram. Pak Lah yang mengasaskan ajaran Islam Hadhari dan juga cucu kepada seorang ulama terkenal telah membohongi rakyat Malaysia kerana tidak mahu mendengar suara rakyat.

Ketika membuat ucapan pergulungan Persidangan Umno pada 9 November lalu, Pak Lah telah mengeluarkan kata-kata “Jangan cabar saya,” tetapi keesokan harinya, rakyat bangkit mencabar kata-kata Pak Lah.

Pak Lah bukan hanya tidak menepati janji tetapi juga tidak dapat membezakan antara peranan beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Ucapan beliau di PWTC pada 9 November adalah atas kapasiti seorang Presiden Parti bukan sebagai Perdana Menteri Malaysia, maka atas kewajaran apakah dia cuba mencabar rakyat yang bukan ahli Umno.

Kebebalan Presiden Umno itu turut sama diikuti oleh Menteri Penerangan yang juga bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Zainuddin Maidin serta Menteri Pembangunan Dan Hal Ehwal Wanita, Shahrizat Jalil. Dengan mengatakan bahawa demonstrasi jalanan bukan budaya negara ini, kebodohan dua orang menteri Umno ini terserlah.

Apakah kedua mereka ini tidak lulus mata pelajaran sejarah ketika bersekolah dahulu hingga melupakan ‘perjuangan’ Datuk Onn pada tahun 1946 dahulu? Bukankah Datuk Onn dulu juga mengadakan demonstrasi jalanan ketika menentang Malayan Union.

Biadap sungguh pemimpin Umno hari ini kerana sanggup menghina perjuangan bekas pengasas parti itu sendiri. Apakah pemimpin Umno hari ini juga mahu menjadi biadap seperti menantu Pak Lah?

Sudah tiba masanya untuk katakan TAK NAK pada BN.

Written by irwanmuhammadzain

November 12, 2007 at 5:25 am

Posted in politik