Demokrasi yang hampir mati…
Dari dulu hingga kini (tetapi tak mungkin selamanya) Umno-BN mendabik dada mempertahankan kononnya demokrasi terus wujud di Malaysia. Asas hujah Umno-BN ialah kerana pembuangan undi dalam pilihan raya umum masih lagi dijalankan.
Dalam sebuah negara di mana parti yang memerintah sejak merdeka menganggap dirinya mustahil membuat kesilapan, rakyat dibutakan dengan hujah seperti itu.
Pembuangan undi yang menjadi hujah kewujudan demokrasi Umno-BN hanyalah sebenarnya sistem demokrasi, namun sebenarnya prinsip yang menjadi asas kepada bentuk demokrasi itu tidak sepenuhnya diguna pakai oleh Umno.
Pernahkah rakyat biasa diberitahu oleh pemimpin Umno-BN bahawa asas kepada prinsip demokrasi adalah ‘doktrin pengasingan kuasa’. Sekiranya doktrin ini tidak dipatuhi maka demokrasi tidak mungkin wujud sama sekali. Sekadar mengundi dalam pilihan raya sahaja bukanlah demokrasi.
Doktrin pengasingan kuasa mengkehendaki ketiga-tiga badan yang secara langsung bersabit dengan rakyat diasingkan dan bebas di antara satu sama lain. Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman mestilah tiga badan yang berasingan dan tidak boleh menguasai atau mempengaruhi di antara satu dengan yang lain.
Badan Eksekutif yang terdiri daripada kabinet dan diketuai oleh Perdana Menteri menjalankan tugas eksekutifnya. Badan eksekutif tidak berhak membuat sebarang undang-undang atau mencampuri sebarang urusan mahkamah termasuk pelantikan hakim-hakim.
Badan eksekutif juga tidak berhak memperalatkan Perkhidmatan Awam selain daripada tujuan menjalankan kewajipannya menurut apa yang telah termaktub dalam undang-undang. (Inilah sebabnya mengapa Perkhidmatan Awam diletakkan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam supaya kebebasannya dari unsur-unsur politik dan dari diperalatkan untuk kepentingan politik sentiasa terjamin demi demokrasi dan demi memberi perlindungan kepada rakyat).
Badan Perundangan yang turut disertai oleh ahli-ahli daripada parti pembangkang dalam Parlimen dan DUN membuat undang-udang bagi kepentingan rakyat. Perlembagaan mengkehendaki sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan ia perlulah dibaca sebanyak tiga kali dan dibahaskan. Peruntukan dalam Perlembagaan ini dibuat agar undang-undang yang diluluskan adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk kepentingan mana-mana golongan tertentu yang mana boleh menjejaskan golongan lain dan sudah tentunya bukan untuk menjaga kepentingan parti yang memerintah.
Dan lagi bagi melindungi hak rakyat dan memastikan pembikinan undang-undang tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik parti pemerintah, persetujuan raja diperlukan. Kalau Parlimen atau DUN buat undang-undang tapi Raja tak bersetuju maka ia tidak boleh dikuatkuasakan. (Begitupun peruntukan persetujuan diraja ini telahpun dipinda).
Badan Kehakiman juga terletak di bawah Suruhanjaya Kehakiman bagi memastikan kebebasannya. Makna ‘Yang DiPertuan Agong melantik’ hakim atau Ketua Hakim Negara ‘atas nasihat Perdana Menteri’ sebenarnya menunjukkan bahawa yang mempunyai autoriti terakhir ke atas pelantikan tersebut ialah Yang DiPertuan Agong dan bukannya Perdana Menteri. Sekiranya ia bermaksud sebaliknya, maka tidak perlulah pelantikan tersebut dibuat oleh Yang DiPertuan Agong, cukuplah Perdana Menteri sahaja yang melantik hakim atau Ketua Hakim.
Tetapi menurut prinsip demokrasi, ini tidak boleh berlaku. Jika Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk melantik hakim dan Ketua Hakim, maka sudah tidak ada lagi demokrasi. Pelantikan seperti ini hanyalah digunakan dalam sistem pendiktatoran di mana segala-gala kuasa berada dalam tangan Ketua Eksekutif.
Disebabkan rakyat biasa tidak dididik tentang prinsip demokrasi yang sebenarnya tetapi cuma diyakinkan oleh Umno-BN bahawa demokrasi wujud kerana kita masih membuang undi dalam pilihan raya, maka rata-rata rakyat Malaysia benar-benar yakin bahawa demokrasi wujud di negara ini.
Sebenarnya demokrasi boleh diselamatkan. Kita mempunyai masa 50 tahun untuk melakukannya. Namun disebabkan ciri demokrasi yang mengkehendaki kebebasan dan hak menggunakan media secara saksama juga turut dicemari, maka kita masih belum dewasa dalam politik apabila kita tidak dapat merasionalisasikan dalam minda kita tentang sistem dua parti.
Sekiranya kita sememangnya dewasa dalam hal ini dan sekiranya prinsip dan ciri demokrasi dihormati oleh Umno-BN, maka sudah tentu PAS turut mendapat peluang menjadi sebuah parti alternatif bagi memerintah negara ini. Dari segi usia dan pengalaman politik, Umno hanyalah 5 tahun lebih dahulu dari PAS. (Di Amerika Syarikat jarak masa penubuhan di antara parti Republican, Democratic dan Federalist juga agak jauh. Begitu juga di Britain, di mana pertubuhan parti Labour dan Conservative juga terpisah begitu jauh).
Dalam konteks ini, kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr. Lo’Lo Haji Mohd Ghazali agar PAS diberikan peluang untuk memerintah negara ini bukan sahaja berasas malah begitu penting untuk difikirkan dan perlu diberikan sokongan padu agar demokrasi dapat diselamatkan dari terus berkubur di bumi Malaysia.
Kalau kita masih tak faham apa dia demokrasi, belajarlah dari orang lain yang telah lebih lama menggunakan bentuk kerajaan yang sedemikian.
Dalam ucapan pertamanya selaku Presiden ketiga Amerika Syarikat (4 March 1801), Thomas Jefferson menyebut: “We are all Republicans, we are Federalists”.
Yang penting bukannya parti politik yang memerintah, tetapi yang diperintah mendapat perlindungan, keadilan dan peluang kemakmuran yang sama rata.
Demokrasi…
Apabila Senator Tan Sri Jins Shamsuddin mengatakan demokrasi masih tulen di negara ini, maka atas pertimbangan apakah kenyataan itu dibuat? Betulkah apa yang disebut oleh Senator Jins itu?
Demokrasi adalah lebih dari sekadar satu bentuk kerajaan. Ia adalah satu cara kehidupan dan satu formula bagi mencapai keadilan dan kesaksamaan di antara manusia. Perkataan demokrasi bermaksud pemerintahan oleh rakyat.
Abraham Lincoln menghuraikan makna pemerintahan secara ini sebagai, “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat” (government of the people, by the people, for the people) dan bukannya kerajaan untuk beberapa kerat rakyat, oleh beberapa kerat rakyat dan untuk beberapa kerat rakyat.
Demokrasi menyokong kebebasan individu dan digniti asas dan kesamaan setiap seseorang rakyat. Ia adalah satu bentuk kerajaan di mana kuasa politik terletak di tangan rakyat. Ia mengiktiraf nilai intrisik pelbagai input dari sumber yang mempunyai asas yang luas. Dalam kata lain, ia mengundang kepada kekayaaan kepelbagaian.
Demokrasi menyebut jangan lihat hanya kepada diri anda sahaja atau mereka yang mindanya sama dengan anda untuk mencari sesuatu jawapan, tetapi lihat juga apa yang boleh ditawarkan oleh orang lain, kerana sesungguhnya kehidupan ini penuh dengan bermacam kepelbagaian.
Demokrasi mengatakan jangan bersifat rigid dan tidak fleksibel sebaliknya sentiasa bersikap terbuka dan boleh menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan kerana kehidupan itu sendiri adalah sesuatu yang dinamik dan sentiasa melalui perubahan.
Demokrasi mengatakan jangan membuatkan penyertaan itu sesuatu yang esklusif tetapi sesuatu yang inklusif kerana kehidupan merangkumi segala-galanya.
Demokrasi melarang ekstrimism tetapi menganjur kepada kesederhanaan kerana kehidupan memerlukan keseimbangan.
Demokrasi menegah kita mewakili hanya mereka yang berpengaruh tetapi mewakili semua kerana hidup ini berkehendakkan kepada keadilan.
Demokrasi juga menyatakan agar kita tidak menganggu prosesnya kerana itulah satu-satunya harapan bagi untuk kita terus hidup.
Demokrasi memerlukan pemerhati yang adil. Ini kerana demokrasi sentiasa berada dalam tawanan. Ia berlaku apabila sistem ekonomi kapitalis yang kita amalkan bertembung dengan sistem politik demokratik.
Sementara demokrasi mengkehendaki sebuah kerajaan untuk rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, kapitalisme mengkehendaki kepada keuntungan.
Mencari keuntungan…
Kita diajar oleh Rasulullah s.a.w. bahawa sembilan daripada sepuluh rezeki itu adalah bersumberkan perniagaan. Oleh itu apa juga usaha yang menjurus kepada mendapatkan keuntungan dan dilakukan secara bertanggungjawab adalah mulia.
Peniaga dan usahawan yang jujur dalam erti kata sebenarnya seharusnya mendapat ganjaran setimpal ke atas sumbangan mereka.
Namun apabila usaha memperolehi keuntungan tidak berlaku secara jujur, mengabaikan segala peraturan dan tidak lagi menghiraukan kepentingan orang lain termasuk membelakangkan alam sekitar, maka di sinilah manusia dan segala-galanya teraniaya dan merana.
Pada titik inilah kita sebenarnya tidak lagi maju ke depan tetapi sebaliknya mundur ke belakang. Dalam sebutan mutlak, kita sebenarnya tidak mencatatkan evolusi ekonomi tetapi sebaliknya devolusi.
Mereka yang berkuasa dan membiarkan jurang yang kaya dengan yang miskin kian melebar terus mempromosikan ketidak-adilan, ketidak-seimbangan, suasana terdesak di kalangan masyarakat, pelbagai konflik keyakinan, kemusnahan alam sekitar dan keresahan yang pelbagai.
Justeru, apalah ertinya nilai keuntungan, kuasa dan kemajuan sekiranya ia hanya berlaku dengan segala macam percanggahan, perlanggaran undang-undang, merosakkan kemanusiaan serta juga memusnahkan mahkluk lain menerusi pencemaran alam atas nama kemajuan.
Kita kian menjadi umat yang mendewa-dewakan kekayaan dan status. Kita mementing imej dari substance. Kita menggunakan sumber dengan sewenang-wenangnya. Kita tidak menghiraukan alam sekitar dan juga makluk Allah yang lainnya dan terus menerus mencemarkan minda kita sendiri. Sampai bilakah kita harus membiarkan semua ini berlaku?
Mereka yang mencari untung biasanya akan terus melonggokkan harta. Mereka biasanya mencapai kekayaan yang tidak dapat dibayangkan oleh rakyat marhaen. Bagi setiap orang yang memiliki kekayaan seperti ini, ramai yang hidup dalam kemiskinan.
Keresahan, kebimbangan malah ketakutan dialami oleh mereka tergolong dari bukan pencari untung dan lebih-lebih lagi kepada golongan yang tidak berada.
Mencari keuntungan tanpa memikirkan orang lain dan dengan cara yang tidak adil sebagaimana yang kerap berlaku di negara kita adalah satu pelanggaran hukum dan dan sistem perniagaan yang telah ditetapkan oleh Islam.
Islam menuntut keadilan dalam soal mencari untung sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.: Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus (pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai”
Namun apabila konsep keadilan yang begitu mudah ini diabaikan maka berlakukah kemiskinan dan kesempitan ekonomi dalam sebuah negara yang mempunyai sumber yang mewah seperti Malaysia ini. Ia mungkin tidak lagi mencapai tahap di mana akan berlakunya keruntuhan ekonomi tetapi ia sudah sampai ke peringkat mencetuskan revolusi minda politik di mana mereka yang dulunya begitu yakin dengan parti yang memerintah kini tidak lagi menaruh keyakinan yang sama.
Tidak ada siapa yang tidak mahukan kepada kemajuan. Islam melihat kemajuan sebagai sesuatu usaha murni menuju ke arah satu matlamat yang diredai oleh Allah SWT. Sebagai umat Islam, jalan yang kita perlu lalui untuk mencapai kemajuan adalah jalan orang yang diredhai dan bukannya jalan orang dilaknati.
Siasah…
“Aku tak minat politik.”
Sering saja kita mendengar jawapan begini bila diajukan soalan tentang politik kepada mana-mana individu. Politik dalam bahasa arab disebut Siasah.
Apabila tidak minat, mereka ini melihat ia sebagai sesuatu yang tidak wajib diambil tahu dan tidak perlu diambil tahu kalau tiada minat, seolah-olah ia adalah suatu hobi sedangkan sebenarnya ia suatu tuntutan kewajipan ke atas individu yang mukallaf dalam memilih dan menentukan kepimpinan negara samada yang bakal naik itu pemimpin yang adil ataupun pemimpin yang zalim, samada negara itu diperintah mengikut kehendak Al-Quran atau tidak, ia adalah sebesar-besar urusan umat dan berdosa mengabaikannya.
Politik dengan Agama tidak dapat dipisahkan : Suatu Penjelasan
Politik dengan agama tidak dapat dipisah. Kalau kita baca Fatwa yang dikeluarkan oleh Prof.Dr.Syeikh Yusuf Qardhawi bahawa memisahkan agama Islam daripada politik ini boleh menyebabkan seseorang itu rosak aqidah.
Parti politik juga tidak boleh dipisah dengan agama. Islam menggangap semua perkara ada kaitannya dengan agama. Makan minum ada kaitan dengan agama, bercakap ada kaitan dengan agama, memerintah ada kaitan dengan agama, parti ada kaitan dengan agama, berkahwin ada kaitan dengan agama. Cuba bagitahu apa perkara yang tidak ada kaitan dengan agama.
Ceritera membina kapal peronda…
Katakanlah anda memilik wang RM5.35 bilion ringgit dan mahu menggunakan wang itu untuk membuat sebuah istana dengan segala peralatan dan perabot canggih. Beranikah anda memberikan kerja itu kepada sebuah kontraktor yang hanya berpengalaman membina rumah banglo dua tingkat?
Beranikan anda memberikan wang pendahuluan sebanyak RM1.07 bilion sebelum kontraktor itu memulakan kerja? Dan akhir sekali, waraskah anda membayar RM3.3 bilion lagi setelah kontraktor berkenaan menyiapkan dinding dan lantai tingkat bawah? Kemudian apakah justifikasi anda menambah lagi peruntukan RM1.04 bilion kerana mahu melihat istana anda itu akhirnya siap terbina?
Mungkin anda akan melakukan sedemikian sekiranya wang itu gugur dari langit atau wang itu milik bapa anda dan anda tidak perlu melaporkan kepada sesiapa dan tidak perlu menyimpan rekod lengkap tentang pembayaran dan sebagainya dan tidak perlu mengadakan sebanyak mungkin mesyuarat dengan bapa anda.
Kemungkinan lain ialah kontraktor itu kawan anda. Anda mahu tolong dia jadi kaya lalu biarlah dia diberikan kontrak berkenaan. Tak ada pengalaman, tak ada pengalamanlah. Nasib-nasib dia boleh siapkan istana itu. Sebaliknya, kalau tak ada nasib, terbengkalai sahajalah kerja itu. Bagi anda, apa peduli, bukan duit anda pun.
Begitulah analogi yang cuba dibandingkan dalam menjelaskan kontrak membina enam buah kapal peronda canggih untuk kegunaan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang dianugerahkan Kerajaan Malaysia kepada sebuah kontraktor yang sebelum itu tidak pernah membina kapal peronda menurut spesifikasi yang diperlukan.
Sebenarnya selain ketidak-upayaan dan ketidak-kecekapan pihak kontraktor dalam melaksanakan projek ini seperti dilaporkan Ketua Audit Negara dalam Laporan Audit 2006 dan juga sebagaimana yang dianalisis pemerhati industri termasuk dari luar negara, perkara-perkara lain turut menjadi tanda tanya kerana ia terkeluar daripada norma amalan perniagaan biasa.
Misalnya, bagaimana 14 baucar bayaran kemajuan projek bernilai hampir RM1 bilion boleh hilang begitu sahaja dan tidak dapat dikesan dan dikemukakan kepada pihak Jabatan Audit Negara. Semua baucar membabitkan tarikh Disember 1999 sehinggalah Januari 2002 dengan nilai baucer di antara RM6.69 juta sehinggalah kepada baucar bernilai RM222.06 juta).
Dalam satu interbiu eksklusif oleh majalah Asian Defence Journal (Januari 2000), Najib selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan antara lain berkata:
“Bagi merealisasikan matlamat tidak-bergantung kepada pihak lain dalam pengeluaran pertahanan dan sokongan produk kepada Angkatan Tentera Malaysia, maka terdapat keperluan untuk membangunkan industri pertahanan tempatan dengan cara yang tersusun dan sistematik. Ada pertimbangan strategik yang perlu diambil kira dan juga faktor ekonomi yang tidak boleh diketepikan. Terdapat juga keperluan mewujudkan keadaan saling mempengaruhi di antara ATM, industri pertahanan tempatan (pembekal) dan agensi kerajaan, yang mana akan memudahkan penemuan kerajaan, pemindahan teknologi, insentif cukai dan sebagainya.”
Sebuah lagi kenyataan retorik atau sebuah lagi mimpi? Dan apakah kita mahu orang yang sebegini menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam nanti?
Pasir Mas
(Bendera Pasir Mas)
Pasir Mas, seindah nama tempatnya. Salah satu bandar kecil yang wujud di Kelantan. Jarak masa antara 20-30 minit dari ibu negeri Kota Bharu. Nadi penggerak bandar Pasi Mas adalah perniagaan dan pertanian. Rakyatnya peramah dan senang di dekati. Penduduk wanitanya antara yang tercantik di Malaysia.
Daerah ini asalnya dibuka oleh Che Leh Ismail atau mesra dengan gelar Che Leh Tok Pendekar yang berasal dari Kota Bharu.
Ketika itu seorang ulamak dari Bachok datang ke daerah yang belum bernama itu untuk mengajar ilmu Islam dan Quran. Setelah beberapa lama berada di daerah tersebut maka beliau mengambil keputusan untuk kembali ke Bachok.
Beberapa hari selepas beliau pulang ke Bachok, tiga buah tempayan berisi emas tiba-tiba muncul dari kawasan semak berdekatan padang pasir di tepi sungai. Beberapa orang penduduk yang melihat kejadian itu terus berteriak “Mas! Mas!”. Dan sejak itu daerah ini dikenali dengan nama Pasir Mas bersempena kejadian itu dan kawasan padang pasir yang luas di tepi sungai.
Foto bandar Pasir Mas.
Jajahan Pasir Mas merupakan salah sebuah daerah daripada 10 buah jajahan yang terdapat dalam Negeri Kelantan yang terdiri daripada Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Ia bersempadanan dengan Jajahan Kota Bharu di sebelah timurnya dan Jajahan Tumpat di sebelah utaranya. Ia juga bersempadan dengan Negara Thailand di sebelah Barat dan di sebelah Selatan bersempadan dengan Jajahan Tanah Merah. Seluas 3.9 Peratus keluasan Negeri Kelantan adalah keluasan Jajahan Pasir Mas atau 57,800 hektar.
Sebelum Jajahan Pasir Mas diwujudkan ia merupakan sebahagian daripada Jajahan Kota Bharu. Walau bagaimanapun, setelah dipersetujui bersama, Jajahan Pasir Mas telah diasingkan pada tahun 1918 dan diletakkan dibawah pentadbiran sendiri di bawah Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Pada waktu itu Ketua Jajahan Pasir Mas yang pertama telah di sandang oleh Encik Jaafar yang memegang jawatan selama satu tahun.
Kota Bharu minggu lepas…
Gambar ini diambil oleh seorang kawan (pangkatnya kakak) ketika dia sekeluarga berkunjung ke Kota Bharu minggu lepas.
Aku harap rakyat Kelantan sedar dan jangan cepat percaya dengan gula-gula projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah yang sering tertidur dan kerap bercuti itu.
Rakyat Kelantan harus menolak Umno/BN. Harus menolak perompak seperti Annuar Musa dari menjadi Menteri Besar Kelantan.
Chow!
Penyelewengan, rasuah dan BPR…
Bila saja Ketua Audit Negara (KAN) mengeluarkan laporan secara rasmi selepas 7 September lalu bagi tahun kewangan Kerajaan Persekutuan berakhir 31 Disember 2006, ada satu perkara lucu berlaku.
Perkara lucu ini membabitkan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Ahmad Said Hamdan.
Ahmad Said dalam satu kenyataan media, menegaskan pihaknya tidak mengamalkan pilih kasih dalam menyiasat dakwaan penyalahgunaan perbelanjaan kementerian dan jabatan kerajaan.
Amat melucukan bila seorang yang memegang jawatan Ketua Pengarah tidak mampu membezakan antara ‘rasuah’ dan ‘penyelewengan’.
Banyak perbezaan di antara “penyelewengan, penyalahgunaan wang awam dan pengabaian prosedur dan peraturan bersabit kewangan awam” dengan “rasuah”.
Penyelewangan misalnya ialah apabila wang awam yang telah dilulus dan diperuntukkan bagi sesuatu perkara diselewengkan untuk kepentingan peribadi.
Penyalahgunaan pula dikaitkan dengan dana awam yang diluluskan untuk sesuatu tujuan digunakan untuk tujuan lain atas sebab-sebab tertentu yang boleh memberikan keuntungan kepada pegawai yang mempunyai kuasa membelanjakan wang awam berkenaan.
Rasuah pula adalah perbuatan menyogok pegawai awam bagi mendapatkan kelulusan sesuatu projek dan sebagainya. Penyogokan seperti ini walaupun berkaitan dengan sesuatu projek awam tetapi ia tidak semestinya berlaku penyelewengan dan sebagainya dalam pengurusan dan urusniaga kewangan selanjutnya.
Sejak bila pula BPR menjalankan kewajipan memerangi rasuah dengan mengharapkan belas ehsan dari laporan dan siasatan terperinci jabatan lain?
Chow!…
Bila adanya niat jahat…
Hari ini sudah tiada lagi laporan mengenai kejadian di Batu Burok, Terengganu. Kerajaan BN harus berterima kasih kepada kejadian gempa bumi di Sumatera yang mendapat liputan meluas akhbar-akhbar arus perdana.
Tindakan ganas dan kejam kerajaan Umno/BN dapat ditutup dengan cepat kerana hari ini akhbar-akhbar lebih ghairah untuk menyiarkan tentang gempa bumi di Sumatera itu. Lihat saja Utusan Malaysia, muka hadapan hanya berita gempa bumi disiarkan.
Kalau tidak kerana gempa bumi itu, hari ini pemimpin-pemimpin Umno/BN terpaksa lagi berbohong dan memutar belitkan kenyataan demi untuk menutup kesalahan besar yang telah mereka lakukan.
Untuk mengulas apa yang telah berlaku itu rasanya tidak perlu kerana semua orang sudah pun tahu. Tapi sejak kejadian di Batu Burok itu berlaku, apakah kita sedar bahawa sebuah agensi yang mempunyai piagam untuk dijadikan teras dan prinsip mereka telah melanggar piagam tersebut?
Piagam agensi itu mengkehendaki pertubuhan yang diwujudkan di bawah Akta itu membekalkan liputan peristiwa dan aktiviti dengan tepat.
Menurut piagam berkenaan agensi itu mendukung prinsip bahawa berita yang disiarkan adalah tepat dan bukannya difabrikasi atau dicipta.
Namun malangnya, agensi tersebut iaitu Agensi Berita Nasional (Bernama) telah melanggari piagam mereka sendiri.
Ketika membuat laporan awalnya mengenai insiden berkenaan, Bernama telah melaporkan insiden berkenaan dengan memilih perkataan dan rangkai kata: “pengikut parti pembangkang.”
Perkataan ‘pengikut’ jika diteliti dalam konteks ini seolah-olah membawa niat jahat (malicious). Biasanya apabila perkataan ‘pengikut’ digunakan, ia lazimnya bermaksud ‘pengikut’ sesebuah organisasi atau kumpulan yang haram atau tidak sah di sisi undang atau malah ajaran sesat. Misalnya, ‘pengikut ajaran Ayah Pin’ atau ‘pengikut ajaran Hassan Anak Rimau’.
Mereka boleh memilih untuk menggunakan perkataan ‘penyokong’ kerana itu adalah perkataan paling tepat untuk merujuk kepada mereka yang menyokong sesebuah parti politik berdaftar dan tanpa adanya unsur tersirat di sebalik tersurat.
Tidak mustahil mereka menggunakan perkataan ‘pengikut’ yang membawa konotasi negatif supaya dalam waktu yang sama ia menunjukkan kepada pembaca dan rakyat betapa apa yang diikuti, dalam kes ini, parti PAS, KeADILan dan DAP selaku parti pembangkang sebagai organisasi dan kumpulan jahat yang sepatutnya tidak diikuti oleh rakyat Malaysia.
Jika laporan dan pemilihan perkataan yang tampak seolah-olah berniat jahat ini digunakan oleh akhbar-akhbar arus perdana yang menjadi organ tidak rasmi parti pemerintah. Tetapi apabila agensi berita kerajaan turut terpengaruh dan bersekongkol dengan penyelewangan seperti itu, natijahnya ia semakin berlepas diri dari menjadi sebuah agensi berita berwibawa dan authoratif.
Itu baru mengenai pemilihan perkataan dan cara ayat dibina dan belum lagi diambil kira, laporan yang berat sebelah, berita yang tidak lengkap dan laporan yang berdasarkan semata-mata imaginasi pemberita.
Dalam insiden di Batu Buruk misalnya, bagaimanakah wartawan atau pemberita agensi berkenaan mengesahkan bahawa yang dituduh sebagai merusuh itu sebenarnya penyokong parti pembangkang?
Apakah wartawan turut sama membuat liputan pada malam itu? Bagaimana mereka mengesahkan status yang terlibat itu sebagai ‘pengikut’ parti pembangkang dan bukan sekadar rakyat biasa yang turut sama mahu mendengar ceramah mengenai tuntutan pilihan raya yang adil?
Hmmmm….
Chow!…
Mengapa begini?
Dalam kehidupan moden ini, segala falsafah Islam yang hebat bagaikan mitos yang tidak berpijak di alam nyata. Secara sedar atau tidak kekuatan dan kemegahan Barat telah berjaya mempengaruhi minda manusia. Mungkin tidak semua tetapi yang pasti jumlah bukan sedikit.
Contoh mudahnya jika terdapat dua produk yang dikeluarkan. Satu produk dikeluarkan di Barat tanpa disenaraikan keistimewaannya, dan satu lagi dikeluarkan di dunia Islam dengan disenaraikan keistimewaannya, perasaan masyarakat umumnya merasai, produk Barat tentu lebih hebat.
Ini kerana Barat secara umumnya telah berjaya membina jenama yang baik untuk blok mereka. Sementara dunia Islam sentiasa dipandang sinis dalam berbagai-bagai perkara.
Dunia Islam yang sepatutnya menerajui tamadun pembangunan insan dan kebendaan telah mundur dan hilang peranan. Hasil dari hilangnya identiti diri iaitu akidah yang murni yang menjadi asas tamadun umat, maka hilanglah tamadun kita yang pernah dibina. Bahkan sebahagian masyarakat Islam hidup dalam kesyirikan dan khurafat yang tebal.
Lihat sahaja apa yang wujud di negara ini. Mereka bukan sahaja ketinggalan zaman, mereka juga ketinggalan Islam yang tulen. Kepercayaan kepada tangkal-mangkal, bomoh, tahyul dan seumpamanya menguasai sebahagian masyarakat kita.
Walaupun mereka mendakwa diri mereka Islam, namun benteng akidah telah pun mereka hancurkan. Bahkan ada istiadat dan pegangan yang menyanggahi syarak menggantikan tempat agama.
Wanita Islam di sesetengah masyarakat umpamanya, begitu ditindas di sudut hak sebagai wanita, bahkan sebagai insan. Isteri pula bagaikan hamba abdi suaminya yang seakan diberi kuasa oleh budaya setempat untuk benar-benar diperhambakan.

