Angkasawan dan makanan…
Telah berkata Najib Tun Razak bahawa program penghantaran angkawasan Malaysia akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menaruh minat terhadap kembara angkasa lepas dan teknologi aeroangkasa.
Ramai yang bertanya bagaimanakah program ini dapat memberi sumbangan terhadap apa yang dikatakan oleh Najib sedangkan minat rakyat Malaysia kepada sains am dan sains asas pun masih lagi di peringkat yang paling kuno. Berapa ramaikah rakyat Malaysia ingin tahu bagaimanakah sebuah dinamo basikal berfungsi?
Bagi Pak Lah pula, sebagai melengkapi wawasan Islam Hadharinya, beliau lebih berminat dengan soal menjalankan kewajipan ibadat dalam kapal angkasa ketika berlayar di angkasa lepas.
Ketika berkomunikasi dengan angkasawan Malaysia dan ditonton secara langsung oleh rakyat Malaysia, isteri Pak Lah juga turut bertanya, tentang soal makanan.
Nampaknya itulah sahaja antara minat yang dapat dikaitkan dengan penghantaran atau penumpangan rakyat Malaysia di atas sebuah kapal angkasa yang belayar ke angkasa.
Ia tidak akan menjadi satu peristiwa bersejarah seperti yang dicatatkan oleh Yuri Gagarin (manusia pertama berada di angkasa lepas) atau juga Neil Amstrong. Malah ia juga tidak dapat menyamai sejarah yang dicatatkan oleh Edmund Hillary sebagai pendaki pertama berjaya tiba di puncak Gunung Everest atau Ronald Amundsen, manusia pertama yang berjaya tiba di Kutub Selatan.
Akhirnya, kita bukan sahaja tidak mencipta sebarang sejarah tetapi turut diketawakan oleh bangsa lain yang tahu bahawa kehebatan sesuatu bangsa bukan kerana meniru kejayaan orang lain tetapi sanggup bertungkus lumus untuk mencipta kejayaan asli.